KUALA LUMPUR: Israel dilihat tidak mempunyai sebarang hasrat untuk memastikan keamanan yang kekal di Palestin.


Ringkasan AI
  • Israel dilihat tidak berminat untuk menghentikan perang dan terus berada secara haram di tanah Palestin.
  • Israel melihat gencatan senjata sebagai peluang bagi Hamas untuk pulih dan memperbaiki kedudukan mereka, yang ditakuti oleh Israel.
  • Hamas mempunyai cita-cita untuk membebaskan semua tawanan yang berada dalam tangan mujahidin di Gaza.


Penganalisis berpandangan motif rejim Zionis itu untuk meneruskan perang adalah untuk memastikan negara haram itu mempunyai kelebihan dalam rundingan dengan Hamas, dengan sasaran jangka panjang untuk memusnahkan sepenuhnya organisasi pejuang berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al-Nuri berkata hakikatnya, Israel tidak ada cita-cita untuk menamatkan perang memandangkan mereka mahu terus berada secara haram di atas tanah Palestin. 

“Tetapi pada hari ini kita lihat tuntutan (Utusan Amerika Syarikat ke Asia Barat, Steve) Witkoff dan Zionis-Israel untuk panjangkan gencatan fasa kedua selama tambahan 42 hari lagi. Sedangkan mereka tidak ada cita-cita untuk menghentikan peperangan. 

“Sebaliknya, Hamas ada cita-cita untuk bebaskan semua 59 baki tawanan yang berada dalam tangan mujahidin di Gaza, yang mana 24 daripada mereka dilaporkan masih hidup. Rakyat Palestin faham permainan Zionis-Israel ini dan tidak akan tunduk dengan tuntutan yang dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Agenda AWANI: Dihimpit sekatan, ini Ramadan di Gaza

Dalam temu bual yang sama, Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique pula berkata keengganan Israel meneruskan gencatan senjata adalah bertujuan memastikan Hamas tidak mampu menyusun semula kekuatan. 

“Israel lihat gencatan senjata selama 42 hari ini sebagai satu peluang untuk Hamas pulih semula selepas perang. 

“Mereka lihat, jika gencatan senjata ini diteruskan untuk fasa kedua dan ketiga, berkemungkinan Hamas akan mampu memperbaiki kedudukan, struktur organisasi dan strategi mereka. Ini ditakuti oleh Israel. 

“Bagi Israel, jika gencatan ini beralih ke fasa berikutnya, mereka tidak lagi ada kelebihan untuk berunding dengan Hamas,” ujarnya.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebelum ini berusaha melanjutkan fasa pertukaran awal untuk mendapatkan lebih ramai tahanan Israel tanpa memenuhi syarat ketenteraan dan kemanusiaan dalam perjanjian itu.

Hamas menolak syarat itu dan menegaskan bahawa Israel harus mematuhi perjanjian gencatan senjata serta segera memulakan rundingan bagi fasa seterusnya, yang termasuk pengunduran penuh Israel dari Gaza dan penghentian perang secara menyeluruh.

Gencatan senjata itu sebelum ini telah menghentikan sementara serangan ketenteraan Israel, yang telah meragut lebih 48,380 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta memusnahkan Gaza.