KUANTAN: Istana Pahang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan satu klip video rekaan yang tular di platform TikTok berhubung kehadiran Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ke Indonesia baru-baru ini.
Menurut hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, klip video yang disebarkan di akaun TikTok tersebut mendakwa kehadiran Tengku Mahkota Pahang ke Indonesia bagi menonton ritual keagamaan yang dilakukan oleh seorang individu yang bergelar ustaz.
“Video berkenaan langsung tidak menunjukkan sebarang kehadiran Tengku Mahkota Pahang malah hanya rekaan dan fitnah bagi menarik orang ramai melalui platform media sosial tersebut yang disyaki scammer,” menurut hantaran itu.
Menurut hantaran itu, penafian tersebut dibuat susulan mesej yang disebarkan kepada orang ramai menggunakan nama Tengku Hassanal bagi memperdaya masyarakat.
Istana Pahang menegaskan bahawa perbuatan tersebut adalah cubaan penipuan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan imej institusi diraja.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta agar lebih berhati-hati, bijak menilai kesahihan sesuatu maklumat serta tidak mudah terperdaya dengan tawaran palsu yang disebarkan di media sosial,” menurut hantaran itu.
-- BERNAMA