Ringkasan AI
- Kadar zakat fitrah mungkin perlu dikaji semula oleh Jawatankuasa Fatwa dan Majlis Agama Islam negeri-negeri berdasarkan gred beras, susulan isu beras campur yang ditemui baru-baru ini.
- Datuk Mohd Na'im Mokhtar menyatakan bahawa jika isu beras campur terbukti benar, kadar zakat fitrah boleh dipertimbangkan semula kerana ia ditetapkan berdasarkan fatwa terdahulu.
- Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI mendapati 50% daripada 5,000 sampel beras import yang dirampas dicampur dengan beras putih tempatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata jika isu itu jelas terbukti, ia boleh dibawa kepada pihak-pihak berkenaan untuk dipertimbangkan semula kerana kadar zakat fitrah ditetapkan ketika ini berdasarkan keputusan fatwa terdahulu.
"Penetapan kadar zakat fitrah itu mengambil kira ketika sesuatu fatwa atau keputusan yang telah dibuat. Jadi, maknanya semasa fatwa itu dikeluarkan menetapkan jumlah beras tersebut RM7, RM15 dan RM20, yang itulah dibuat masa berkenaan.
"Bagi mengkaji semula kadar berkenaan, memang saya serahkan kepada kebijaksanaan Jawatankuasa Fatwa ataupun Majlis Agama Islam Negeri untuk menetapkan berada jumlah kadar zakat fitrah itu, tetapi bukanlah dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan sijil Malaysia Book Of Records dan pelancaran produk baharu Ayam Gepuk Pak Gembus di sini malam tadi.
Pada Rabu, media melaporkan Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) mendapati kira-kira 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang dirampas pihak berkuasa dicampur beras putih tempatan.
Berdasarkan semakan Bernama di portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-57 bertarikh 10 Jun 2003, harga zakat fitrah bagi negeri-negeri di Semenanjung berdasarkan harga setempat oleh BERNAS bagi setiap beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram (kg).
Harga zakat fitrah bagi Sabah dan Sarawak pula berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras Vietnam White untuk kedua-dua negeri itu mengikut timbangan satu gantang Baghdad atau bersamaan 2.7 kg.
-- BERNAMA
