Skip to main content

Malaysia

Isu dadah juruterbang: AADK sokong tindakan tegas MAG, tawar kepakaran pemeriksaan ketat

AADK
Ruslin (kanan) berkata, AADK bersedia untuk memperluas kerjasama dengan semua syarikat penerbangan sebagai usaha pencegahan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan dan integriti proses ujian kekal pada tahap tertinggi - Foto AADK
Advertisement

KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyambut baik dan menyokong penuh langkah proaktif Malaysia Aviation Group (MAG) mewajibkan saringan dadah terhadap kesemua juruterbang Malaysia Airlines susulan insiden penahanan seorang juruterbangnya di Indonesia, baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, ketegasan MAG memperketatkan kawalan keselamatan dan memperluaskan ujian saringan mandatori kepada seluruh juruterbang serta kru kabin aktif mencerminkan komitmen tinggi terhadap dasar 'Toleransi Sifar' penyalahgunaan dan penyeludupan dadah.

Beliau menegaskan bahawa keselamatan pengangkutan awam, khususnya sektor penerbangan awam, tidak boleh dikompromi sama sekali kerana industri kritikal berkenaan memikul tanggungjawab besar terhadap keselamatan nyawa ribuan penumpang.

"Tindakan pantas MAG melaksanakan saringan menyeluruh dan berjadual adalah wajar serta amat dipuji.

"Namun, kita juga mahu mengingatkan semua pihak agar tidak membiarkan tindakan terpencil individu ini mencemarkan imej serta profesionalisme majoriti tenaga kerja penerbangan negara yang sentiasa berdedikasi," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Felda Tenang, Besut, hari ini.

Dalam pada itu, Ruslin menambah, AADK bersedia untuk memperluas kerjasama dengan semua syarikat penerbangan sebagai usaha pencegahan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan dan integriti proses ujian kekal pada tahap tertinggi.

"AADK menyatakan kesediaan untuk memberikan sokongan penuh menerusi empat teras utama iaitu operasi pengesanan khas dengan memperkemaskan operasi saringan terhadap kru penerbangan (juruterbang dan anak kapal).

"Sebelum ini, AADK telah melaksanakan operasi pengesanan terhadap kru AirAsia pada Disember 2025 dan kru Malaysia Airlines pada April 2026," katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan, AADK juga menggalakkan sektor korporat dan penerbangan memantapkan dan memperluas pelaksanaan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) bagi memastikan persekitaran kerja sentiasa selamat daripada ancaman dadah.

Melalui program itu, ujarnya AADK boleh menyediakan khidmat nasihat, modul ujian saringan, kepakaran pencegahan, serta melahirkan penyelia bertauliah melalui ujian kompetensi dan pengurusan risiko di premis MAG.

"AADK akan terus komited mendampingi dan menyokong agensi kerajaan mahupun swasta bagi memastikan imej penerbangan dan negara sentiasa terpelihara daripada ancaman najis dadah," jelasnya.

Must Watch Video

Advertisement