BANDAR SERI BEGAWAN: Isu jerebu rentas sempadan yang membelenggu negara terutama di Sarawak dijangka antara tumpuan perbincangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada Sabtu ini.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Aini Atan berkata, perkara itu dijangka dibincang pada pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin sempena lawatan kerja dua hari Anwar ke Brunei.
Jelasnya ini kerana, isu jerebu ini merupakan satu isu kesihatan yang saling berkaitan antara kedua-dua negara dan beberapa negara ASEAN lain.
“Dan sebagaimana kita tahu isu jerebu (ketika ini) yang paling terkena tempiasnya ialah Sarawak. Dan dengan kehadiran Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah dalam pertemuan itu pastinya saya rasa isu ini akan dibincangkan. (Tetapi) Itu terpulang kepada kedua-dua pemimpin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Lawatan Kerja Perdana Menteri ke Brunei pada Khamis.
Mengulas lanjut Mohd Aini berkata, turut menjadi tumpuan ialah isu-isu berbangkit dalam sesi ALC ke-26 di Kuala Lumpur tahun lalu termasuk isu sempadan darat.
Katanya, kehadiran dua pemimpin iaitu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam lawatan kerja Anwar itu sudah pasti membincangkan isu sempadan antara Beuneo dan negeri-negeri Borneo tersebut.
“Ini sebenarnya isu yang memang akan dibincangkan, dan akan disentuh sebabnya dengan lebih lanjut. Isu ini sedang berterusan sebenarnya dan akan terus dibincang sehingga dapat diselesaikan,” katanya.
Pada Oktorber 2025, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, Malaysia optimis mencapai sasaran memuktamadkan persempadanan darat dengan Brunei menjelang 2034, selepas sejumlah 38.67 kilometer (km) jajaran perbatasan kedua-dua negara selesai ditanda dan diukur, tahun ini.
Jelas Mohamad, ini menjadikan jumlah keseluruhan kemajuan adalah 41 peratus atau 214.638km, berbanding 528.45km keseluruhan jajaran sempadan darat kedua-dua negara.
Selain itu, mengulas lanjut mengenai lawatan kerja ke Brunei selama dua hari bermula Jumaat Mohd Aini berkata lawatan itu bagi menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC) Kali ke-27 antara Malaysia dan Brunei.
Mohd Aini berkata siri rundingan pemimpin tahunan itu adalah mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara kedua-dua negara.
Beliau menjelaskan dalam rundingan itu, Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah akan menilai kemajuan hubungan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua buah negara.
“Selaku negara jiran rapat dan rakan kongsi peringkat ASEAN, kedua-dua pemimpin akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama. Satu Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama pengurusan bencana akan ditandatangani oleh menteri-menteri berkaitan bagi pihak Malaysia dan Brunei.
Selain Mohamad, Hajiji dan Abang Johari, Perdana Menteri akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.