Pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin berkata arahan penutupan dilakukan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 susulan pemeriksaan oleh 65 penguat kuasa jabatan kesihatan ke atas 61 premis.
Beliau berkata hasil pemeriksaan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) itu juga, 91 notis Seksyen 32B telah dikeluarkan terhadap pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
"Antara kesalahan yang dikesan termasuk kebersihan pengendali makanan tidak memuaskan, premis tidak dikekalkan dalam keadaan bersih, penyimpanan, pendedahan dan pameran makanan tidak mengikut peraturan, penyimpanan makanan tidak mematuhi kehendak kebersihan dan lain-lain lagi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Zaini berkata semua notis yang dikeluarkan boleh diselesaikan melalui bayaran kompaun dalam tempoh satu bulan dari tarikh notis dikeluarkan, dan pemilik premis yang ingkar terhadap arahan penutupan boleh dikenakan tindakan undang-undang dengan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
"Mana-mana pemilik premis yang gagal mematuhi piawaian kebersihan akan diberi bimbingan dan arahan untuk mengambil tindakan pembetulan, sekiranya mereka masih gagal mematuhi arahan pada lawatan susulan, tindakan lebih tegas termasuk penutupan premis akan diambil," katanya.
-- BERNAMA
