Tindakan itu dibuat berikutan insiden seorang kanak-kanak 10 tahun yang dilaporkan tercekik gula-gula berkenaan dan disahkan meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, hasil siasatan awal mendapati gula-gula tersebut dipercayai diperoleh dari gerai berhampiran sekolah mangsa.
"Pemeriksaan ke atas gerai-gerai di kawasan sekitar telah dijalankan pada Rabu dan pasukan penyiasat telah menemui produk ‘Gummy Original Basketball Soft Candy’s’ di sebuah premis di Jalan Sungai Dua dan sitaan produk telah dijalankan.
"JKN Pulau Pinang kini sedang menyiasat lebih lanjut berkaitan keselamatan produk makanan terbabit dan tindakan selanjutnya akan diselaraskan di peringkat ibu pejabat Program Keselamatan Dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia,"katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Berikutan kejadian itu, Daniel meminta orang ramai terutama ibu bapa untuk memantau dan menasihati anak-anak mereka supaya lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan terutama makanan yang mempunyai risiko tercekik.
Beliau berkata, sebarang pengambilan makanan untuk kanak-kanak hendaklah berada di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga.
Katanya, JKN Pulau Pinang akan terus menjalankan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan serta mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan murid Tahun 4 yang dilaporkan kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata dalam kejadian pada petang Selasa telah meninggal dunia pada malam Khamis.
Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HPP menghembuskan nafas terakhirnya pada jam kira-kira 11 malam.
Mangsa sebelum itu dilaporkan tidak sedarkan diri ketika mengikuti kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa dikatakan meminta izin daripada gurunya untuk ke tandas selepas dia dikatakan tersedak.
Bagaimanapun, ketika berjalan ke tandas, mangsa rebah dan tidak sedarkan diri.
Sementara itu, Daniel turut merakamkan ucapan takziah bagi pihak kerajaan negeri kepada keluarga serta rakan mangsa dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan ini. - Sinar Harian
