Hajiji dalam tegurannya mengingatkan JKR serta pihak bertanggungjawab agar tidak hanya duduk dan menunggu kemalangan berlaku kepada rakyat, atau menunggu aduan serta arahan sebelum mengambil tindakan pembaikan.
Beliau merujuk kepada insiden seorang penunggang motosikal meninggal dunia selepas terlanggar jalan berlubang di Kota Kinabalu baru-baru ini, dan menzahirkan rasa sedih apabila kejadian malang itu menimpa rakyat di Sabah.
"Ajal dan maut adalah ketentuan, namun JKR harus mengambil tanggungjawab untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya. JKR perlu membuat pemantauan dan pemeriksaan yang kerap serta rapi secara berjadual terhadap jalan-jalan rosak di seluruh negeri ini.
"Jangan tunggu berlaku kemalangan baru kelam-kabut bertindak. Ini zaman di hujung jari, silap sedikit ada tukang tular...yang dilihat dan ditegur bukannya kementerian atau jabatan, tetapi kerajaan dan ketua menteri," katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu Penjawat Awam 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong serta Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Seri Rosli Isa.
Pada 3 Feb lepas, seorang lelaki berusia 30-an maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas, dipercayai terlanggar lubang di permukaan jalan yang rosak berhampiran Jejambat Lido, Jalan Lintas di Kota Kinabalu di sini.
Hajiji berkata selain jalan raya, beliau turut menegur pihak pengurusan bekalan air negeri, susulan Sabah berdepan dengan 60 peratus Air Tidak Terhasil (NRW) antaranya akibat pengurusan tidak cekap dan masalah kecurian air di kawasan setinggan.
Mengakui isu bekalan air adalah masalah diwarisi daripada kerajaan terdahulu, namun beliau tidak mahu pihak bertanggungjawab terutama Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengambil sikap sambil lewa dalam menangani masalah berkenaan.
"60 peratus air bersih kita dicuri orang, bukan sedikit lebih separuh air bersih hilang. Ini tanggungjawab JANS kenal pasti punca kehilangan berlaku. Saya difahamkan NRW itu ada diturunkan setelah kenal pasti kawasan terdapat penyambungan haram dengan hentikan penyambungan tersebut ke setinggan haram.
"Persoalan saya di sini, apa jaminan penduduk setinggan haram tersebut tidak menyambung semula saluran air berkenaan dan menjejaskan semula bekalan air untuk rakyat kita, ini semua perlu dilihat semuanya," katanya.
Beliau berkata pihak terlibat juga perlu bertindak pantas menjelaskan kepada rakyat perkara sebenar berkaitan dalam isu bekalan air di Sabah.
-- BERNAMA
