Skip to main content

Malaysia

Jambatan ketiga Pulau Pinang atau terowong masih dalam RSNPP 2040 secara indikatif - Chow

GEORGE TOWN, July 29 — Penang Chief Minister Chow Kon Yeow speaks at the lease agreement signing ceremony for the construction of the Eppendorf manufacturing facility at Bandar Cassia Technology Park here..  —fotoaBERNAMA (2026) COPY RIGHT RESERVED
Menurut Chow, cadangan pembinaan jambatan ketiga Pulau Pinang atau terowong dasar laut masih terkandung dalam dokumen Draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 (RSNPP 2040) (Kajian Semula). - Gambar fail/Bernama
Advertisement

GEORGE TOWN: Cadangan pembinaan jambatan ketiga Pulau Pinang atau terowong dasar laut dari persiaran Gurney ke Bagan Ajam masih dimasukkan secara indikatif dalam Draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 (RSNPP 2040) (Kajian Semula).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata cadangan tersebut masih terkandung dalam dokumen perancangan itu memandangkan perjanjian berkaitan projek berkenaan masih sah dan tertakluk kepada jadual pembangunan yang ditetapkan.

“Itu saya rujuk kepada terowong ataupun jambatan kerana kita sudah beri tawaran kepada syarikat (terlibat), misalnya banyak tempat pembangunan atau zon-zon pembangunan diletakkan secara indikatif sahaja

“Bilakah ia dibangunkan, kadang-kala tertakluk kepada kerajaan, sektor swasta yang merancang pembangunan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RSNPP 2040 (Kajian Semula) di sini hari ini.

Cadangan projek terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer menghubungkan Gurney Drive ke Bagan Ajam di tanah besar itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Mengenai pembangunan Pulau Jerejak yang terkandung dalam RSNPP 2040, Chow berkata kira-kira 80 ekar tanah di pulau itu adalah milikan swasta, manakala kawasan selebihnya masih dizonkan sebagai hutan simpanan kekal.

“Projek utiliti infrastruktur masih boleh ditimbangkan walaupun dalam hutan simpanan, tetapi bukan pembangunan selain itu. Apa yang diumumkan itu melibatkan tanah-tanah milikan swasta, bukan melibatkan hutan simpan kekal di atas Pulau Jerejak,” katanya.

Sementara itu, Chow berkata RSNPP 2040 mengambil kira keseimbangan pembangunan antara bahagian pulau dan Seberang Perai, selain keperluan pembangunan di kawasan tumpuan serta pinggiran.

Katanya perancangan berkaitan risiko bencana merupakan antara aspek teknikal yang diambil kira dalam penyediaan rancangan berkenaan bagi merangka dasar dan strategi pembangunan negeri bagi masa depan.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Pulau Pinang, kementerian dan jabatan, pihak berkuasa tempatan (PBT), sektor swasta, institusi akademik, badan profesional, badan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak berkepentingan agar meneliti Draf RSNPP 2040 serta mengemukakan pandangan dan cadangan secara konstruktif.

 “Saya ingin menegaskan bahawa Draf RSNPP 2040 bukan dokumen yang kita anggap sudah sempurna, sebaliknya kita membuka ruang untuk rakyat meneliti, memberi pandangan, mengemukakan cadangan dan, jika perlu, mencabar sesuatu cadangan berdasarkan fakta, kepakaran serta kepentingan awam,” katanya.

Draf RSNPP 2040 (Kajian Semula) yang merupakan dokumen perancangan strategik negeri yang menggariskan hala tuju pembangunan fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar secara menyeluruh bagi tempoh perancangan hingga 2040 itu kini dibuka untuk publisiti dan penyertaan awam hingga 9 Sept depan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement