KEABRABAN antara Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan selebriti, Bella Astillah menjadi bualan ramai khususnya selepas mereka terlibat sebagai duta jenama pakaian.

Malah, penglibatan Syed Saddiq sebagai model pakaian menjadi 'usikan' Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat minggu lalu.

Selepas momen-momen 'indah' disajikan di laman sosial, bekas Menteri Belia dan Sukan itu hari ini seolah-olah mengiyakan gosip bahawa Bella Astillah adalah 'teman wanitanya' ketika membuat kejutan menyampaikan persalinan baju Melayu kepada Perdana Menteri.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika menerima pemberian itu di lobi Parlimen sempat berseloroh, menyatakan Bella sepatutnya ada ketika penyerahan baju Melayu berona biru dan merah jambu itu.

Sebagai reaksi sepontan, Syed Saddiq kemudian 'meminta' Perdana Menteri agar tidak 'mengganggu' Bella.

"Jangan kacau, itu (Bella) saya punya, kasi (bagi) chance (peluang) la Datuk Seri," katanya dalam klip video yang dikongsi menerusi media sosial miliknya, hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, kelihatan Perdana Menteri seolah-olah cuba 'mengorek rahsia' hubungan antara Syed Saddiq dan Bella.

"Kita doakan je lah Datuk Seri... Apa-apa, anda akan menjadi antara yang pertama tahu," kata Syed Saddiq.

Pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat sebelum ini, Syed Saddiq mengakui terpaksa menjadi model baju raya sebuah jenama fesyen bagi mendapatkan sumbangan untuk pengundi di kawasan Parlimennya.