KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak mudah membuat andaian terhadap siasatan yang dihadapi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan agar tidak membuat andaian terhadap siasatan ke atas Ismail Sabri Yaakob.
  • Beliau menegaskan siasatan perlu diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
  • Anwar meminta semua pihak menunggu proses siasatan yang telus dan adil sebelum membuat sebarang kesimpulan.


Anwar berkata perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan sehingga ia selesai.

"Prinsipnya siasat tanpa kira (mana-mana individu terkait)...Saya tidak halang tindakan dan keduanya jangan menghukum sebelum selesai proses yang telus dan adil," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata Ismail Sabri merupakan suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram selepas penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah safehouse susulan serbuan dilakukan pihaknya.

Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui pentadbiran negara.

Setakat ini, SPRM telah merakam percakapan 31 individu serta membekukan 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta dengan kesemua akaun adalah sah dan aktif.

SPRM sebelum ini telah menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan meluangkan masa berbuka puasa bersama hampir 1,000 warga Parlimen di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen.

Hadir sama pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri itu adalah kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anwar yang tiba kira-kira 7.15 malam disambut oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Turut hadir, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Majlis berbuka puasa itu turut dihadiri beberapa Ahli Parlimen daripada kerajaan serta blok pembangkang, ahli-ahli Dewan Negara, dif-dif kehormat serta kakitangan Parlimen.

Sebelum meninggalkan majlis berkenaan pada 8.30 malam, Anwar turut menunaikan solat maghrib secara berjemaah yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Husni.

-- BERNAMA