Skip to main content

Malaysia

Jangan terlalu kongkong industri filem tempatan, elak kreativiti ‘dikurung’ - PM

[TB]_Anwar Ibrahim FINAS 4_ASTRO AWANI_SHAHIR OMAR
Anwar berkata, beliau sudah menegaskan kepada menteri serta pihak berkaitan supaya pendekatan kerajaan terhadap industri filem menjadi lebih terbuka. - Gambar/ Astro AWANI/ Shahir Omar
Advertisement

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pendekatan kerajaan terhadap industri perfileman negara lebih terbuka dan lunak, termasuk dalam proses kelulusan karya, bagi memastikan kreativiti penggiat seni tidak dibelenggu sekatan berlebihan.

Beliau berkata, industri filem memerlukan ruang lebih luas untuk berkembang sebagai sektor kreatif yang kompetitif, namun keterbukaan itu perlu seiring usaha mempertahankan budaya, akhlak dan nilai masyarakat.

“Industri filem ini, sepertimana juga pemerkasaan budaya, menuntut suatu sikap yang lebih terbuka. Mana mungkin kreatif kalau terlalu banyak kekangan dan sekatan syarat-syaratnya.

“Bayangkan filem mahu dikembangkan sebagai suatu industri yang lebih kompetitif dan menarik khalayak, tetapi terlalu banyak sekatan dan kongkong, tidak mungkin berkembang,” jelas Anwar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara Finas Damansara, di sini, pada Isnin.

Tambah Anwar, beliau sudah menegaskan kepada menteri serta pihak berkaitan supaya pendekatan kerajaan terhadap industri filem menjadi lebih terbuka.

“Kita akan tentukan supaya ruang diberikan lebih terbuka, agar penggiat seni tidak rasa terlalu tertekan dan terkongkong, sampai kena tanya lima kali sama ada adegan atau babak ini boleh diluluskan atau tidak,” ujarnya.

Dalam masa sama, Anwar menegaskan keterbukaan yang dimaksudkan bukan bermakna Malaysia perlu mengikut acuan Barat, sebaliknya pendekatan itu perlu kekal berteraskan budaya, nilai dan akhlak masyarakat tempatan.

“Kalau mahu negara ini maju, kita harus terima kenyataan bahawa anak-anak muda dan khalayak menginginkan suatu suasana yang lebih bebas dan terbuka.

“Tidak bermakna kita harus ikut acuan Barat, bagaimanapun acuan Timur itu pula tidak semestinya aliran neokonservatif.

“Aliran Timur itu harus kekal dengan budaya, dengan nilai, dengan akhlak, tetapi harus lebih terbuka,” katanya.

Anwar turut menegaskan filem, seni dan sastera tidak seharusnya dijadikan alat propaganda kerana industri kreatif memerlukan ruang untuk berkembang secara kreatif dan kritis.

Katanya lagi, Malaysia juga perlu menerima perubahan teknologi termasuk animasi, teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI), namun pada masa sama memastikan industri kreatif terus berakar pada bahasa, budaya, jati diri dan identiti negara.

 

Must Watch Video

Advertisement