KUALA LUMPUR: Fenomena El Nino ketika ini menyebabkan jangkaan pencemaran jerebu untuk beberapa hari akan datang kekal tinggi.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, fenomena tersebut juga menyebabkan jangkaan aktiviti titik panas, khususnya di kawasan tanah gambut juga dijangka berterusan.
"Berdasarkan maklumat serantau, Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) jangkakan keadaan kering berterusan di banyak kawasan di ASEAN Selatan. ASMC juga beri amaran aktiviti titik panas dan jerebu rentas sempadan kekal tinggi.
“Faktor El Nino yang terus mempengaruhi keadaan serantau juga meningkatkan tempoh kering yang lebih panjang. Walau bagaimanapun, sebarang unjuran mengenai cuaca, hujan dan arah angin yang beri kesan kepada kualiti udara adalah di bawah kepakaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Tambah Azuri Azizah, tiga faktor utama yang akan menentukan situasi jerebu adalah keadaan cuaca dan taburan hujan, aktiviti kebakaran dan titik di kawasan tanah gambut, dan corak dan arah tiupan angin.
Setakat 7 petang, IPD Serian dan Kuching di Sarawak kekal merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Berbahaya; masing-masing 339 dan 314. Manakala, empat kawasan lain di Sarawak; Samarahan (294), Sri Aman (263), Sarikei (258) dan Sibu (241), mencatatkan bacaan IPU Sangat Tidak Sihat.
19 kawasan lain di Sabah, Sarawak, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Wilayah Persekutuan Putrajaya serta Labuan mencatatkan bacaan Tidak Sihat. 43 kawasan pula mencatatkan bacaan IPU Sederhana. Tiada kawasan yang mencatatkan bacaan Baik.