Skip to main content

Malaysia

Jelajah Jiwa SME 2026 Kedah angkat ekonomi kopi, budaya kafe

Datuk Mohd Salleh Saidin (tengah) disambut kumpulan penari ketika hadir merasmikan Jelajah Jiwa SME 2026 Kedah di Aman Central.
Datuk Mohd Salleh Saidin (tengah) disambut kumpulan penari ketika hadir merasmikan Jelajah Jiwa SME 2026 Kedah di Aman Central.

Advertisement

ALOR SETAR: Jelajah Jiwa SME 2026 edisi Kedah mengetengahkan potensi ekonomi kopi dan budaya kafe dengan membuka ruang kepada usahawan tempatan memperkukuh jenama, memanfaatkan teknologi digital serta membina jaringan perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, industri kopi menawarkan peluang perniagaan yang luas, merangkumi pembekalan bahan mentah dan peralatan, perkhidmatan barista serta operasi kafe.

“Perkembangan budaya kafe turut membuka peluang kepada usahawan untuk membina jenama tersendiri, mencipta pekerjaan dan memenuhi permintaan pengguna yang semakin pelbagai.

“Namun, kejayaan dalam industri ini memerlukan lebih daripada produk yang baik.

“Usahawan perlu bijak mengurus kos, menjaga kualiti, memahami kehendak pelanggan dan memanfaatkan teknologi digital bagi memastikan perniagaan kekal relevan serta berdaya saing,” katanya ketika merasmikan jelajah berkenaan di Aman Central di sini.

Bertemakan “Ekonomi Kopi dan Budaya Kafe”, program anjuran Astro AWANI dengan Unifi Business sebagai penaja utama itu berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober, sekali gus menjadi destinasi kelima dan terakhir jelajah tahun ini.

Mohd Salleh turut menggalakkan peserta memanfaatkan program berkenaan untuk mendapatkan ilmu praktikal, bertukar pengalaman serta mengenali bakal rakan niaga bagi mengembangkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Ingatlah bahawa kejayaan perniagaan bukan hanya bergantung pada modal yang besar, tetapi juga pada kesungguhan untuk belajar, keberanian untuk berinovasi dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran,” katanya.
 

Image
JIWA SME KEDAH INSERT
Datuk Mohd Salleh Saidin (tengah) disambut kumpulan penari ketika hadir merasmikan Jelajah Jiwa SME 2026 Kedah di Aman Central.


Sementara itu, Pengarah dan Ketua Pengarang Astro AWANI, Zaiful Ariffin berkata, Jelajah Jiwa SME telah menghimpunkan lebih 200 usahawan dan penyedia solusi perniagaan sepanjang persinggahannya di Kuala Lumpur, Sabah, Terengganu, Selangor dan Kedah sejak Jun lalu.

Menurutnya, pemilihan tema kopi bagi edisi Kedah mencerminkan perkembangan industri itu sebagai ekosistem ekonomi yang turut melibatkan pemanggang biji kopi, petani, pembekal makanan, pengusaha bakeri, pembungkusan, pemasaran dan teknologi digital.

Memetik kenyataan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi pada Julai 2025, beliau berkata, pasaran kopi domestik Malaysia dianggarkan bernilai AS$1.05 bilion atau kira-kira RM4.4 bilion, dengan lebih 6,400 kafe beroperasi di seluruh negara.

“Kita tidak mahu usahawan kita sekadar pandai membuat kopi.

“Kita mahu mereka pandai membina jenama, mengurus perniagaan dan mencipta nilai ekonomi,” katanya.

Zaiful berkata, Astro AWANI memanfaatkan kekuatan media, kewartawanan dan platform digital untuk membantu usahawan memahami perubahan pasaran, mengenal pasti peluang serta memperkenalkan kisah kejayaan mereka kepada masyarakat.

“Bersama penaja utama kita, Unifi Business, kita mahu mempercepat penggunaan digitalisasi supaya usahawan dapat memasarkan produk dengan lebih luas, mendekati pelanggan dan meningkatkan kecekapan operasi,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan hasrat memperluas kerjasama dengan persatuan perniagaan pada 2027 menerusi pendidikan keusahawanan, perkongsian kepakaran dan peluang pasaran yang dapat membantu peserta mengembangkan perniagaan.

Dalam pada itu, Naib Presiden Unifi Business, Dr Mohamad Yusman Ammeran berkata, pengusaha kopi dan kafe perlu memanfaatkan teknologi digital untuk menarik pelanggan baharu, membina kesetiaan pelanggan serta bersaing dengan jenama lebih besar.

“Tetapi dalam pasaran hari ini, kopi yang sedap sahaja tidak cukup.

“Jenama perlu dikenali, pengalaman pelanggan perlu diingati, dan perniagaan perlu bersedia untuk berkembang,” katanya.

Menurutnya, platform digital membantu meluaskan capaian pasaran, manakala sambungan internet yang stabil menyokong kelancaran operasi harian perniagaan.

Beliau berkata, Unifi Business mahu menjadi rakan digital yang membantu PMKS meningkatkan produktiviti, memperkukuh kehadiran dalam talian dan meneroka peluang pertumbuhan baharu.

“Kepada semua pengusaha kopi dan pemilik kafe, teruskan menghasilkan produk yang berkualiti, bina jenama yang mempunyai identiti tersendiri dan gunakan digital untuk membawa perniagaan anda lebih jauh,” ujarnya.

Image
JIWA SME KEDAH INSERT
Wakil penganjur dan rakan strategik bergambar sempena Jelajah Jiwa SME 2026 Kedah yang mengetengahkan tema ‘Ekonomi Kopi dan Budaya Kafe’.


Sementara itu, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Mohd Dzahir Jamudin berkata, hubungan dengan agensi, pemain industri dan rakan strategik penting bagi membantu usahawan menghadapi cabaran persaingan, pendigitalan serta akses kepada pembiayaan.

Katanya, Jelajah Jiwa SME menyediakan ruang untuk peserta memperoleh pengetahuan dan membina rangkaian yang dapat menyokong perkembangan perniagaan mereka.

“DPMM juga percaya bahawa kerjasama antara persatuan perniagaan, pihak media dan sektor korporat amat penting dalam membina ekosistem keusahawanan yang lebih kukuh dan mampan.

“Sehubungan itu, pihak DPMM amat berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan Astro AWANI dan rakan-rakan strategik pada tahun hadapan.

“Kami berharap kerjasama ini dapat diperkukuh lagi agar lebih ramai usahawan mendapat manfaat, akses kepada peluang perniagaan serta sokongan yang diperlukan untuk terus berkembang,” katanya.

Edisi Kedah menyediakan 55 program dengan penglibatan 14 penceramah serta 10 sesi podcast yang menghimpunkan usahawan dan pemain industri.

Antara pengisiannya ialah Pentas Jual, Pentas CIPTA, pameran usahawan tempatan serta pertandingan Latte Art Throwdown dan Brewing Throwdown, selain persembahan secara langsung.

Program itu terbuka secara percuma kepada orang ramai dari pukul 10 pagi hingga 9.30 malam, dengan maklumat lanjut tersedia menerusi laman rasmi Jiwa SME.

Must Watch Video

Advertisement