Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman dalam kenyataan memaklumkan, jemaah disaran membuat janji temu melalui aplikasi MySejahtera mulai 14 Feb atau laman web rasmi TH.
"Sehari sebelum tarikh vaksinasi, peringatan janji temu akan dihantar melalui MySejahtera bagi memastikan jemaah tidak terlepas sesi suntikan mereka," katanya.
Beliau berkata, jemaah lain yang tidak tergolong dalam kategori wajib tetapi ingin mendapatkan perlindungan tambahan boleh memilih untuk menerima vaksin secara sukarela selepas berunding dengan pegawai perubatan di fasiliti kesihatan yang ditetapkan.
Bagi jemaah haji yang ingin mendapatkan perlindungan tambahan, vaksin pneumokokal amat disarankan dan boleh diambil bersama vaksin influenza memandangkan penyakit pneumokokal adalah antara penyebab utama kemasukan ke hospital dalam kalangan mereka.
Selain itu, kesesakan di ruang terhad boleh menaikkan potensi penyebaran penyakit berjangkit seperti penyakit pneumokokal dalam kalangan jemaah melalui kontak rapat dan batuk.
Pada 15 Feb lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan, semua bakal haji diwajibkan menerima suntikan vaksin Meningococcal manakala vaksin COVID-19 dan influenza pula, diwajibkan kepada kumpulan sasar.
Sementara itu, Syed Hamadah berkata, COVID-19 bukan sekadar selesema biasa kerana ia boleh membawa komplikasi serius terutama bagi warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, masalah jantung, asma, dan penyakit paru-paru kronik.
Kesan sampingan vaksin juga kebiasaannya adalah ringan dan sementara seperti rasa sedikit sakit di tempat suntikan, keletihan atau demam ringan dan tidak berbeza dengan vaksin lain yang pernah diambil sebelum ini.
"Namun, bagi mereka yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, masalah jantung, asma atau penyakit paru-paru kronik, jangkitan COVID-19 boleh menjadi lebih serius hingga memerlukan rawatan di hospital.
"Bayangkan jika anda berada di Tanah Suci, bukan di rumah sendiri, dan tiba-tiba jatuh sakit sehingga perlu dimasukkan ke hospital," katanya.
Selain itu, Syed Hamadah berkata, bagi yang pernah dijangkiti COVID-19 jangan menyangka sudah kebal kerana imuniti semula jadi tidak kekal selamanya dan boleh berkurang dengan masa, menjadikan mereka terdedah kepada jangkitan semula, selain menyatakan varian baharu virus itu lebih mudah merebak dan mungkin lebih berbahaya.
-- BERNAMA
