IPOH: Pelaksanaan fasa kedua projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Perak akan menumpukan kepada pembangunan infrastruktur telekomunikasi melibatkan pembinaan dan kerja naik taraf lebih 30 tapak pemancar di perkampungan Orang Asli terpilih di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi berkata langkah itu penting bagi memastikan masyarakat Orang Asli menikmati capaian Internet yang berkualiti di penempatan masing-masing.
“Liputan komunikasi yang lebih baik dan stabil di penempatan Orang Asli ini penting demi memastikan komuniti terbabit tidak terpinggir daripada arus pemodenan serta pemerkasaan ekonomi digital negara,” katanya kepada Bernama.
Selain perkampungan Orang Asli, beliau berkata tumpuan turut diberikan kepada pengukuhan liputan di laluan pengangkutan darat menerusi projek “Dijadinet Highway” membabitkan tiga lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan tujuh lokasi di Lebuhraya Pantai Barat (WCE).
“Pelaksanaan projek di kedua-dua lebuh raya utama terbabit perlu diberi perhatian bagi memperkukuh liputan komunikasi, tahap keselamatan pengguna serta kesalinghubungan di laluan strategik negeri,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Mohd Azlan berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) dapat bekerjasama erat bagi merealisasikan kedua-dua projek berkenaan.
“Keutamaan kerajaan negeri bukan sekadar membangunkan infrastruktur semata-mata, sebaliknya memastikan setiap lapisan masyarakat di Perak, termasuk komuniti Orang Asli dan pengguna lebuh raya menikmati akses komunikasi yang stabil, berkualiti dan menyeluruh,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen pada 9 Okt lepas mengumumkan peruntukan RM5 bilion bagi memperkukuh ketersambungan Internet di seluruh negara menerusi inisiatif JENDELA.
Inisiatif itu akan diperluas pada tahun depan dengan tumpuan kepada penyediaan liputan 4G di semua perkampungan Orang Asli, liputan Internet sepanjang 7,000 kilometer (km) jalan raya dan 1,700 km landasan kereta api, selain pelaksanaan projek Sistem Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM).
-- BERNAMA