Skip to main content

Malaysia

Jerebu berulang, di mana ketegasan ASEAN? - Penganalisis

Kewujudan pelbagai perjanjian dan inisiatif ASEAN masih belum mencukupi untuk memastikan masalah jerebu rentas sempadan ditangani secara berkesan. - fotoBERNAMA (2026)
Kewujudan pelbagai perjanjian dan inisiatif ASEAN masih belum mencukupi untuk memastikan masalah jerebu rentas sempadan ditangani secara berkesan. - fotoBERNAMA (2026)

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kewujudan pelbagai perjanjian dan inisiatif ASEAN masih belum mencukupi untuk memastikan masalah jerebu rentas sempadan ditangani secara berkesan.

Penganalisis Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya (UM), Collins Chong Yew Keat berkata, terdapat tiga kelemahan utama yang menyebabkan masalah itu terus berulang, antaranya ketiadaan kuasa penguatkuasaan di peringkat serantau.

“Saya nampak ada tiga kelemahan utama yang kita hadapi sekarang ini. Pertama, punca jerebu itu telah lama berakar umbi dalam struktur ekonomi dan penggunaan tanah yang melibatkan kepentingan komersial besar.

“Kedua, dari segi kemampuan ataupun kesungguhan penguatkuasaan yang cukup berbeza antara kerajaan pusat, pentadbiran tempatan dan juga institusi penguat kuasa.

“Ketiga, kerangka ASEAN itu sendiri yang tidak mempunyai kuasa untuk memaksa pelaksanaan ataupun penguatkuasaan hukuman terhadap mana-mana pihak yang gagal memenuhi tanggungjawab mereka,” katanya secara eksklusif kepada Astro AWANI.

Menurut Collins, perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) yang berkuat kuasa sejak 2003 mempunyai nilai diplomatik, politik dan institusi, namun keberkesanannya sebagai instrumen penguatkuasaan masih terhad.

Jelasnya, perjanjian itu menetapkan tanggungjawab dalam aspek pencegahan kebakaran, pemantauan, pertukaran maklumat dan kesiapsiagaan, namun tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan serantau untuk memastikan pelaksanaannya secara konsisten dan berkesan.

Malah, perjanjian berkenaan tidak mempunyai sistem penalti automatik, mahkamah penguatkuasaan khas atau kuasa untuk mengenakan sekatan dan tindakan ekonomi.

“Kalau kita tengok perjanjian ini ada nilai dia, sudah tentu dari segi diplomatik, ada nilai dari segi politik, institusi, tapi keberkesanan itu masih terhad sebagai instrumen penguatkuasaan. It looks better on paper than on the ground. (Ia kelihatan lebih baik di atas kertas berbanding pelaksanaan sebenar),” katanya.

Dalam pada itu, Collins menjelaskan, ketiadaan mekanisme akauntabiliti serta akibat yang jelas sekiranya sesebuah negara gagal memenuhi kewajipannya menyebabkan keberkesanan perjanjian tersebut terus terbatas.

Keadaan itu juga mewujudkan risiko perjanjian berkenaan lebih berperanan sebagai lambang komitmen diplomatik berbanding instrumen yang mampu menyelesaikan masalah jerebu rentas sempadan.

“Kalau perjanjian sedia ada terlalu bergantung kepada kesungguhan politik, itulah masalah akan berlarutan sebab based on commitment, based on political will alone will not solve the entire entrenched issue (bergantung kepada komitmen dan kesungguhan politik semata-mata tidak akan dapat menyelesaikan keseluruhan masalah yang sudah berakar umbi),” ujarnya.

Beliau turut berpandangan bahawa sepanjang dua dekad lalu, masih belum wujud mekanisme penguatkuasaan yang benar-benar diyakini, berkesan dan tegas bagi menangani masalah berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement