PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua sekolah di kawasan atau daerah yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 ditutup serta-merta.
KPM berkata langkah itu merupakan antara garis panduan bagi memastikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid terpelihara ketika menghadapi situasi jerebu.
"Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memantau dan menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan situasi jerebu di luar jangkaan.
"Situasi jerebu yang melanda negara juga turut menyebabkan beberapa lokasi menunjukkan bacaan IPU pada paras tidak sihat," kata KPM dalam kenyataan media hari ini.
Selain itu, KPM turut mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan di bawah kementerian itu supaya memantau rapat keadaan jerebu di lokasi masing-masing.
Pada masa sama, semua aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid hendaklah dihentikan di kawasan yang merekodkan bacaan IPU melebihi 100, termasuk aktiviti keramaian dan sukan di luar bangunan.
Susulan situasi semasa, institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Johor di daerah Batu Pahat ditutup sementara mulai 7 Oktober 2026 sehingga keadaan kembali selamat dan arahan selanjutnya dikeluarkan.
Sepanjang tempoh penutupan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan berdasarkan kesesuaian serta ketetapan semasa dengan mengambil kira faktor keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid.
Selain itu, pihak sekolah perlu menangguhkan aktiviti luar bilik darjah sekiranya cuaca terlalu panas dan berjerebu serta memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan berkenaan.
Institusi pendidikan juga diminta memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.
"JPN, PPD dan semua institusi pendidikan bawah KPM juga perlu peka dan memantau bacaan IPU dan status terkini melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar pada pautan https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan murid dan warga institusi pendidikan.
"KPM akan memastikan aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya sentiasa diberikan keutamaan dari semasa ke semasa," kata kenyataan itu lagi.