Skip to main content

Malaysia

Jerebu nampak tebal, tapi IPU sederhana? Ini penjelasan JAS

Keadaan sekitar Kuala Lumpur yang kelihatan berkabus susulan jerebu yang melanda beberapa kawasan, menjejaskan jarak penglihatan terutama di pusat bandar. - Gambar: Bernama.
Keadaan sekitar Kuala Lumpur yang kelihatan berkabus susulan jerebu yang melanda beberapa kawasan, menjejaskan jarak penglihatan terutama di pusat bandar. - Gambar: Bernama.

Advertisement

Ringkasan AI

  • Ketebalan jerebu yang kelihatan tidak semestinya mencerminkan tahap sebenar pencemaran udara kerana dipengaruhi faktor cuaca, kelembapan dan cahaya.
  • Pemerhatian mata kasar tidak mencukupi untuk menentukan tahap pencemaran udara, sebaliknya bacaan rasmi Indeks Pencemaran Udara (IPU) perlu dirujuk.
  • Orang ramai dinasihatkan sentiasa merujuk bacaan IPU rasmi dan mengikuti saranan kesihatan pihak berkuasa semasa keadaan berjerebu.

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu yang kelihatan tebal tidak semestinya menggambarkan tahap sebenar pencemaran udara kerana penglihatan turut dipengaruhi faktor cuaca, kelembapan udara dan cahaya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Udara Jabatan Alam Sekitar (JAS), Mohd Yunos Rais berkata, pemerhatian menggunakan mata kasar sahaja tidak mencukupi untuk menentukan tahap pencemaran udara.

Menurutnya, orang ramai perlu merujuk bacaan rasmi Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai kualiti udara.

“Apa yang kita lihat dengan mata kasar tidak semestinya menggambarkan tahap sebenar pencemaran udara.

“Pemerhatian kita sebenarnya dipengaruhi faktor cuaca, kelembapan udara serta cahaya yang dipancarkan. Oleh itu, kita tidak boleh menilai tahap pencemaran udara hanya berdasarkan ketebalan jerebu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Astro AWANI bagi menjelaskan perbezaan antara keadaan jerebu yang dilihat orang ramai dengan bacaan IPU.

Mohd Yunos berkata, bacaan rasmi IPU penting kerana pengukuran dilakukan menggunakan instrumen khusus bagi mengukur bahan pencemar di udara.

“Bacaan rasmi Indeks Pencemaran Udara amat penting kerana ia diukur menggunakan instrumen khas yang mengukur jumlah sebenar bahan pencemar di udara," jelasnya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa merujuk bacaan IPU rasmi dan mengikuti saranan kesihatan pihak berkuasa ketika keadaan berjerebu.

Must Watch Video

Advertisement