KUALA LUMPUR: Kualiti udara di kebanyakan kawasan seluruh negara kekal baik setakat 11 pagi ini apabila 38 stesen pemantauan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dalam kategori baik.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS), hanya dua kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
Pasir Gudang, Johor merekodkan bacaan tertinggi di negara ini pada paras 113, diikuti Klang, Selangor dengan bacaan 109.
Selain itu, 28 stesen pemantauan berada dalam kategori sederhana dengan bacaan antara 51 hingga 100.
Antara stesen yang merekodkan bacaan sederhana tinggi ialah Johan Setia, Selangor (83), Seberang Perai, Pulau Pinang (82), Petaling Jaya, Selangor (82), Nilai, Negeri Sembilan (77) dan Sungai Petani, Kedah (75).
Sebanyak 38 stesen lagi berada dalam kategori baik dengan bacaan antara 0 hingga 50. Segamat, Johor merekodkan bacaan 50, manakala Bandaraya Melaka dan Kuching masing-masing mencatatkan bacaan 49.
Jerantut, Pahang merekodkan bacaan IPU terendah iaitu 14, diikuti Mukah dan Limbang di Sarawak dengan bacaan 17, serta Paka dan Besut di Terengganu yang masing-masing mencatatkan bacaan 19.
Mengikut klasifikasi JAS, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.