SHAH ALAM: Semua sekolah agama negeri di bawah kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di daerah Hulu Langat, Gombak dan zon Petaling Perdana kekal ditutup sehingga dimaklumkan kelak.
Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata ketetapan itu turut terpakai kepada sekolah Islam persendirian (SIP) di daerah dan kawasan berkenaan.
Beliau berkata bagi sekolah agama negeri di daerah dan zon lain, ia akan beroperasi seperti biasa mulai esok (12 Okt).
“Bagi sekolah yang akan dibuka semula esok, disarankan agar guru dan pelajar untuk memakai pelitup muka serta mengurangkan aktiviti di luar bilik darjah sebagai langkah berjaga-jaga. Selain itu, pelajar yang mengalami asma serius hendaklah dipantau rapi oleh pihak sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shahzihan berkata maklumat lanjut mengenai operasi dan pembukaan semula sekolah akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JAIS dari semasa ke semasa.
-- BERNAMA