PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuat laporan polis berhubung hantaran tular tentang pengalaman seorang pemohon ketika berurusan di Pejabat Imigresen Cawangan UTC Pudu Sentral, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata semakan mendapati beberapa dakwaan dalam hantaran itu tidak selaras dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rekod berkaitan serta keterangan pegawai yang bertugas ketika kejadian.
Beliau berkata semakan berkenaan dilakukan dengan meneliti rakaman CCTV dan rekod berkaitan, selain mendapatkan keterangan daripada pegawai terbabit.
"Jabatan memandang serius perkara ini bagi memastikan keadaan sebenar dapat diperjelas berdasarkan fakta yang diperoleh. Sehubungan dengan itu, satu laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya dan JIM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Zakaria berkata JIM menghormati hak setiap individu untuk menyuarakan pandangan, berkongsi pengalaman atau mengemukakan aduan berhubung perkhidmatan jabatan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata perkongsian maklumat yang tepat dan menyeluruh penting bagi memastikan sesuatu perkara dapat dinilai secara adil serta mengelakkan salah faham.
Beliau berkata JIM kekal komited memastikan setiap aduan ditangani secara telus, profesional dan tanpa prejudis, selain terus memberikan perkhidmatan dengan berhemah, berintegriti serta mengutamakan kepentingan masyarakat.
Hantaran berkenaan tular dalam media sosial yang mendakwa pemohon dimalukan di khalayak ramai apabila dituduh mencuri sarung pasport oleh pegawai JIM ketika membuat urusan berkaitan dokumen itu.
-- BERNAMA