Ringkasan AI
- Jiran kepada Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa dia tidak pernah melihat kanak-kanak autistik itu bermain di taman permainan berhampiran Pangsapuri Idaman, Damansara Damai.
- Pasangan suami isteri, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
- Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman pada 6 Disember 2023, setelah dilaporkan hilang sehari sebelumnya. Perbicaraan kes ini bersambung pada hari Rabu.
Saksi pendakwaan ke-16, Rashidah Rajali berkata demikian ketika perbicaraan kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal, membabitkan ibu bapa kanak-kanak tersebut, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30.
Rashidah, 37, berkata, sepanjang 10 tahun tinggal di Blok R pangsapuri berkenaan, anak-anaknya juga tidak pernah bermain dengan Zayn Rayyan.
Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, saksi yang juga seorang suri rumah itu berkata, dia tidak mengetahui faktor utama mengapa kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) itu tidak pernah bermain di luar rumah.
“Saya ada tiga anak, mereka sering menunggang basikal di koridor dan taman permainan, tetapi saya tidak pernah nampak Zayn Rayyan bermain.
“Biasanya, anak saya akan bermain di luar pada waktu petang,” katanya.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya, jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Syahliza Warnoh bersambung Rabu. -Sinar Harian
