Menurut JKDM dalam kenyataan hari ini, setiap dakwaan salah laku atau pelanggaran integriti termasuk jenayah rasuah yang melibatkan kakitangan jabatan tersebut sentiasa dipandang serius.
Berhubung kes yang tular di media sosial pada 30 Dis dan 14 Jan lepas, JKDM memaklumkan ia memberi komitmen penuh untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dilaksanakan dengan telus dan menyeluruh.
"Sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terlibat hanya boleh ditentukan berdasarkan hasil daripada keputusan siasatan PDRM kelak.
"JKDM terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab dengan berintegriti serta memastikan kepercayaan masyarakat terhadap jabatan ini sentiasa terpelihara," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, satu video tular mendakwa beberapa individu mengaku sebagai pegawai kastam menyerbu sebuah kilang di Kapar, Klang dan mengambil wang berjumlah RM150,000 secara peras ugut.
Video berkenaan turut memaparkan salinan laporan polis serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa berkaitan kejadian itu.
-- BERNAMA