Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya telah menyediakan bekalan tersebut di dua depoh simpanan keperluan bencana, satu stor negeri, 33 stor daerah, lapan mini depoh dan 32 pangkalan hadapan.
"Bagi memastikan keselesaan dan kebajikan mangsa di Sabah dan Sarawak, JKM telah mengaktifkan 332 PPS di Sabah dan 657 di Sarawak yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan 331,343 mangsa di kedua-dua negeri," katanya pada sesi kamar khas mengenai usul bencana banjir dan tanah runtuh di Sarawak dan Sabah.
Terdahulu, usul itu dibawa oleh Chiew Choon Man (PH-Miri) selepas sesi soal jawab di Dewan Rakyat, yang kemudiannya diminta oleh Timbalan Speaker Datuk Dr Ramli Mohd Nor untuk dibahas di Kamar Khas.
Dalam pada itu, beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah diarahkan untuk memastikan bantuan bekalan sampai ke lokasi yang terlibat, selain memastikan PPS terlibat dilengkapi dengan kemudahan asas yang mencukupi.
"Secara keseluruhan, kekuatan anggota adalah 14,209 di Sabah dan 24,757 di Sarawak dengan aset pelbagai jenis seperti lori, pacuan empat roda, bot amphibious, dan ambulans yang ditempatkan di lokasi strategik di semua daerah," katanya.
Selain itu, Nancy berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut memohon agar Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian mempermudahkan dan menyegerakan proses pendaftaran mangsa banjir di kawasan terlibat bagi mengelakkan kelewatan pembayaran Wang Ehsan.
"Meskipun banjir masih berlaku, agensi kerajaan di peringkat daerah sedang giat mengenal pasti ketua isi rumah yang terlibat dan semua yang layak akan menerima manfaat bantuan bencana daripada kerajaan pusat melalui kerajaan negeri-negeri ini dalam masa yang terdekat," katanya.
-- BERNAMA