Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan tiga faktor dikenal pasti sebagai penyebab kepada kelewatan projek tersebut iaitu keupayaan kontraktor sebanyak 77 peratus, faktor pelbagai (20 peratus) dan faktor di pihak pelanggan (tiga peratus).
Bagi faktor pihak kontraktor, KKR menjelaskan kelewatan berpunca daripada kelemahan pengurusan dalaman, masalah aliran kewangan dan kelewatan pembekalan bahan Sistem Binaan Berindustri (IBS).
"Faktor pelbagai pula seperti kelemahan pemantauan dan kerjasama antara Pegawai Penguasa Projek dan kontraktor, isu teknikal, isu pengambilan balik tanah, masalah geologi tapak bina, cuaca serta bencana alam.
"Faktor pelanggan pula seperti penambahan dan perubahan skop atas kehendak pelanggan," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, KKR dan JKR akan terus memperbaiki metodologi perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek selain sedaya upaya mengaplikasikan inovasi dan digitalisasi teknologi dalam memantau serta mengatasi halangan yang timbul di tapak binaan.
Menurut kenyataan itu, JKR akan menerapkan mekanisme amaran dan peringatan awal agar projek bermasalah dapat dikenal pasti secepat mungkin sebelum ia menjadi projek sakit, selain menekankan persefahaman antara Pegawai Penguasa Projek, JKR, perunding, kontraktor dan agensi kerajaan terlibat dalam memastikan kejayaan projek pembinaan dan penyenggaraan.
"Pengurusan yang cekap dalam aspek perancangan dan pengurusan projek, pemantauan kualiti kerja, pengurusan masa dan kos, kepekaan terhadap keselamatan di tapak pembinaan adalah kunci untuk memastikan pembinaan dilaksanakan dengan baik dalam tempoh kontrak ditetapkan yang akhirnya meningkatkan sistem penyampaian kementerian dan kualiti kesejahteraan rakyat MADANI," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Sakit dan Lewat Jadual Kementerian Pelanggan Bilangan 1 Tahun 2025 hari ini, selaras dengan hala tuju KKR 2025 mensifarkan projek sakit dan memastikan kelancaran pengurusan projek infrastruktur rakyat tanpa lanjutan masa (EOT).
-- BERNAMA
