Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata modul berkenaan merupakan salah satu program latihan yang wajib diikuti untuk melepasi syarat pengesahan dalam perkhidmatan bagi semua pegawai awam.
Beliau berkata kerajaan telah menggariskan peraturan yang perlu dipatuhi oleh semua pegawai awam menerusi subperaturan 13(1) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) [P.U. (A) 395/1993] yang memperuntukkan bahawa seseorang pegawai tidak boleh dengan apa-apa cara menyebabkan dirinya berada dalam keterhutangan kewangan yang serius.
Terkesan dengan laporan lebih 4,000 penjawat awam terpedaya dengan sindiket tawaran pinjaman didalangi pegawai bank di beberapa institusi kewangan negara, Wan Ahmad Dahlan berkata intervensi awal perlu diambil ketua jabatan agar perkara itu tidak berulang.
"Di sinilah intervensi awal perlu dilakukan oleh ketua-ketua jabatan dalam memantau urusan pemotongan gaji pegawai bagi tujuan pembayaran hutang. Sekiranya didapati pendapatan bersih pada slip gaji pegawai berkenaan kurang daripada 40 peratus, maka permohonan pemotongan gaji bagi pembayaran pinjaman seharusnya tidak diluluskan," katanya dalam sesi temu bual pada Jumaat (24 Jan).
Wan Ahmad Dahlan berkata tindakan tatatertib boleh diambil terhadap ketua jabatan kerana cuai dengan meluluskan permohonan pinjaman pegawai walaupun peraturan menyatakan permohonan pinjaman tidak layak buat pegawai yang pendapatan bersihnya kurang daripada 40 peratus.
"Kalau peraturan dah ada, tapi pegawai (membuat pinjaman) masih menggunakan talian hayat dengan mereka yang bersekongkol membuat pinjaman boleh dikenakan tindakan tatatertib," katanya.
Justeru, Wan Ahmad Dahlan berkata ketua jabatan perlu lebih teliti dalam memberi kelulusan kepada pegawai yang memohon pinjaman dan pegawai awam juga seharusnya berperanan melaporkan masalah keterhutangan kewangannya kepada ketua jabatan bagi mendapat bantuan yang sewajarnya.
Beliau berkata antara bantuan yang boleh dicadangkan oleh ketua jabatan adalah merujuk pegawai berkenaan dengan AKPK. Ini kerana agensi ini berupaya memberikan nasihat dan bantuan yang sewajarnya kepada pegawai itu termasuk pelarasan semula hutang dengan tujuan memastikan kedudukan kewangan yang lebih stabil dan mampan.
Pada 14 Jan lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah menumpaskan sindiket menjalankan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram bagi membolehkan penjawat awam yang mempunyai hutang lapuk mendapatkan pinjaman peribadi di institusi perbankan tempatan.
Siasatan awal mendapati terdapat pegawai di beberapa institusi perbankan yang menerima rasuah daripada pegawai syarikat perunding kewangan sebagai balasan membantu memproses dan meluluskan pinjaman peribadi pelanggan yang dikenal pasti.
Pegawai bank terlibat telah mengenal pasti pelanggan yang terdiri daripada penjawat awam yang mempunyai hutang lapuk dan seterusnya mereka akan diperkenalkan kepada syarikat perunding kewangan yang akan menawarkan bantuan skim pinjaman berganda.
-- BERNAMA