Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan berkata daripada jumlah motosikal yang diperiksa itu, sebanyak 6,039 saman di bawah notis JPJ(P)22 dikeluarkan terhadap 2,511 motosikal atas pelbagai kesalahan.
Beliau berkata antara kesalahan terbanyak yang dilakukan melibatkan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan kesalahan teknikal, seperti tidak mematuhi spesifikasi plat atau melakukan pengubahsuaian nombor plat kenderaan selain tiada cermin sisi.
"Operasi Khas Motosikal bersempena dengan Tahun Baharu Cina 2025 menampakkan kejayaan berikutan kadar kesalahan yang dikesan telah berkurang kira-kira 20 peratus berbanding 2024 (7,383 saman) dengan jumlah hari penguatkuasaan dijalankan ialah sama, iaitu 18 hari.
"Hal ini (statistik) menandakan bahawa tahap kesedaran dalam kalangan penunggang dan pemilik motosikal semakin baik," katanya kepada pemberita selepas operasi khas itu dilaksanakan di Jalan Sultan Iskandar di sini malam tadi.
Mohammad Yusoff berkata operasi khas itu yang akan berakhir hari ini memfokuskan kepada kesalahan lalu lintas, lumba haram dan pengubahsuaian ekstrem terhadap komponen motosikal.
Dalam operasi malam tadi juga, beliau berkata pihaknya mengesan sebuah kereta yang telah melakukan kesalahan mengubah suai kenderaan tanpa kebenaran.
"Kita sudah keluarkan saman, antaranya dia (pesalah) telah membuat pengubahsuaian terhadap kenderaan asal daripada Perodua Kelisa kepada Daihatsu, dan dia juga telah menukar enjin kenderaan yang sepatutnya 600cc kepada 1,300cc dengan membuat penukaran enjin tanpa kebenaran," katanya.
Sementara itu, Mohammad Yusoff berkata sepanjang operasi Tahun Baharu Cina 2025 melibatkan bas pula, JPJ Perak telah melaksanakan aktiviti penyamaran di empat terminal bas utama dan mengeluarkan 12 notis kesalahan antaranya tidak mengikut lorong yang betul dan memotong di garisan berkembar.
Dalam perkembangan lain, ditanya sekiranya JPJ Perak akan mengambil tindakan terhadap peniaga yang menjual produk makanan di kawasan lampu isyarat di Perak, beliau berkata pihaknya akan membuat advokasi terlebih dahulu dalam tempoh tertentu sebelum melaksanakan penguatkuasaan.
"Kalau ikutkan ia (tindakan menjual itu) merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 10A(1) Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang menetapkan tiada sesiapa dibenarkan menjual atau menawarkan untuk menjual apa-apa barangan kepada individu yang menaiki kenderaan di sepanjang jalan atau simpang.
"Ia satu kesalahan ... kalau diikutkan tindakan itu mengganggu lalu lintas, membahayakan pengguna jalan raya yang lain dan ia boleh menambah kesesakan lalu lintas," katanya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)