Pengarah JPS Kelantan Dr Siti Fairus Zakaria berkata pihaknya telah meneliti pelbagai aspek pembinaan jambatan tersebut, termasuk kapasiti penggunaannya, aliran air sungai semula jadi, serta aras banjir tahun lepas.
Menurutnya, kakitangan JPS di peringkat jajahan telah turun padang untuk melakukan pemeriksaan selepas menerima laporan mengenai kejadian runtuhan itu.
"Berdasarkan keperluan mendesak, perkara ini telah kita utarakan kepada pihak berkaitan, dan JPS telah menyediakan model jambatan baharu dengan spesifikasi yang sesuai untuk dibina di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi jambatan tersebut di Kampung Rong Chenok di sini, pada Selasa.
JPS Kelantan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membantu masyarakat dan berharap kerajaan dapat meluluskan cadangan pembinaan jambatan itu dalam masa terdekat.
Jambatan yang dibina sejak 1981 itu runtuh akibat binaannya yang sudah lama serta kesan arus deras banjir.
"Oleh itu, reka bentuk baharu yang akan dibina lebih lebar, tinggi, dan kukuh bagi menghadapi banjir yang hampir setiap tahun melanda kawasan ini," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan lebih 2,000 penduduk Mukim Rong Chenok menghadapi kesukaran selepas jambatan utama di kawasan itu runtuh akibat arus deras banjir pada 28 Nov lepas.
Jambatan sepanjang 100 meter itu merupakan laluan utama penduduk ke bandar Pasir Mas dan turut digunakan oleh pelajar sekolah.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)