SHAH ALAM: Enam premis di sekitar Klang, Petaling Jaya, Kajang dan Kuala Langat berkonsepkan hiburan dan refleksologi dipercayai menawarkan gadis warga asing untuk khidmat persundalan dibongkar pada Khamis.
Op Noda itu digerakkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dengan kerjasama bersepadu pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurut sumber, operasi serentak bermula jam 10.30 malam berkenaan bertindak menahan seramai 59 individu terdiri 17 lelaki dan 42 wanita.
"Pemeriksaan mendapati tangkapan membabitkan dua tempatan, 39 warga Myanmar, Vietnam (5 orang), Thailand (12 orang) dan seorang Indonesia.
"Pelbagai barang dirampas antaranya telefon bimbit, kondom, tisu basah, peralatan audio serta wang tunai," katanya.
Kata sumber, siasatan awal mendapati premis dipercayai melibatkan warga asing dengan menjalankan aktiviti hiburan dan pelacuran.
Sementara itu, JSJ Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataan di Facebook rasminya memaklumkan, melalui Op Bersepadu ini, PBT telah menyita premis yang terlibat, manakala TNB bertindak memotong bekalan elektrik di premis-premis berkenaan.
Jelas kenyataan JSJ, beberapa kertas siasatan telah dibuka, antaranya di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana menawarkan khidmat persundalan, Seksyen 15(i)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh masa yang dibenarkan serta Seksyen 6(i)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa permit yang sah.
"PDRM khususnya JSJ akan senantiasa bersikap proaktif dalam membanteras sebarang kegiatan jenayah dalam masyarakat.
"Orang ramai diminta bekerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat kegiatan jenayah agar tindakan pencegahan dan penguatkuasaan dapat diambil dengan kadar segera," ujarnya.
Tangkapan dan rampasan masing-masing dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, IPD Kajang, IPD Klang Utara serta IPD Kuala Langat. -- Sinar Harian