Skip to main content

Malaysia

Judi sabung ayam: 41 ditahan, wang tunai RM114,211 dirampas

Sindiket judi sabung ayam yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini tumpas selepas polis menyerbu sebuah rumah pondok di sini pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
Sindiket judi sabung ayam yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini tumpas selepas polis menyerbu sebuah rumah pondok di sini pada Sabtu. - Foto Sinar Harian

Advertisement

IPOH: Polis melumpuhkan sindiket perjudian sabung ayam susulan penahanan 41 lelaki termasuk seorang warga Indonesia dalam serbuan di sebuah pondok di kawasan kebun Papan Durian Valley, Papan dekat Batu Gajah, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata operasi kira-kira 7 malam itu diketuai Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan bantuan Bahagian D9 JSJ IPK Perak, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak.

Beliau berkata antara yang ditahan ialah seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun yang mengaku sebagai penganjur dan pemilik premis, selain dua individu dipercayai bertindak sebagai pengadil serta pembantu penganjur.

“Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas beberapa barangan serta wang tunai berjumlah RM114,211 yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati kegiatan perjudian ini telah beroperasi sejak awal 2026 dengan kadar pertaruhan dikesan mencecah sehingga RM20,000 bagi satu pusingan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Alwi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 32 Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement