Ringkasan AI
- Mesyuarat Kabinet bersetuju agar Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) diteliti dan disemak.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan keperluan untuk menambah baik beberapa perkara dalam pindaan SOSMA.
- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dijangka memberi kenyataan mengenai semakan SOSMA di Parlimen pada minggu depan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata, perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat susulan pengumuman pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736), pada Khamis.
Menurutnya, secara prinsip Jemaah Menteri bersetuju untuk beberapa perkara ditambah baik dalam pindaan SOSMA nanti.
"Semalam, Perdana Menteri menyatakan mengenai Akta Perhimpunan Aman akan dipinda dengan beberapa perkara dipermudahkan, dan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, SOSMA juga akan diteliti dan disemak.
"Insya-Allah, Menteri Dalam Negeri akan tampil ke Parlimen untuk memberi kenyataan mengenai perkara ini tetapi secara prinsipnya, beberapa perkara sudah dibincangkan dan dipersetujui untuk ditambah baik atau menyemak semula SOSMA," katanya pada Sidang Media Pasca Mesyuarat Kabinet, di sini pada Jumaat.
Tambah Fahmi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dijangka memberi kenyataan berhubung perkara itu di Parlimen pada minggu depan.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)