Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Kajian berkaitan RUU Pengurusan Bencana dijangka selesai dalam 12 bulan

Hasil kajian akan menjadi satu daripada asas penting kepada NADMA dalam menentukan hala tuju pengukuhan tadbir urus bencana negara, khususnya dalam aspek pencegahan, pengurangan risiko dan peningkatan daya tahan masyarakat serta negara.- Gambar hiasan/BERNAMA
Hasil kajian akan menjadi satu daripada asas penting kepada NADMA dalam menentukan hala tuju pengukuhan tadbir urus bencana negara, khususnya dalam aspek pencegahan, pengurangan risiko dan peningkatan daya tahan masyarakat serta negara.- Gambar hiasan/BERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kajian Baseline Pewujudan Akta Pengurangan Risiko Bencana susulan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Bencana Negara dijangka diselesaikan dalam tempoh 12 bulan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dapatan dan syor kajian yang dilaksanakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu akan diteliti serta diselaraskan bersama kementerian serta agensi berkaitan sebelum cadangan dasar dan perundangan dimuktamadkan.

“Buat masa ini, garis masa khusus bagi pembentangan RUU Pengurusan Bencana Negara di Dewan Rakyat belum dapat ditetapkan. 

“Ini kerana proses semasa masih melibatkan penelitian terhadap keperluan dan bentuk kerangka perundangan yang bersesuaian,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang ingin tahu perkembangan terkini penggubalan RUU Pengurusan Bencana Negara. 

Beliau berkata hasil kajian itu akan menjadi satu daripada asas penting kepada NADMA dalam menentukan hala tuju pengukuhan tadbir urus bencana negara, khususnya dalam aspek pencegahan, pengurangan risiko dan peningkatan daya tahan masyarakat serta negara. 

“Kerajaan sedang mengambil pendekatan untuk memastikan bentuk dan skop perundangan yang bakal dicadangkan benar-benar bersesuaian dengan keperluan pengurusan bencana negara dan tidak semata-mata menggubal undang-undang baharu tanpa terlebih dahulu mengenal pasti jurang sebenar dalam kerangka sedia ada.

“Pendekatan ini juga selaras dengan hala tuju pengurusan bencana negara yang menekankan kesiapsiagaan berasaskan sains, data dan teknologi, tindakan awal, sistem amaran awal, struktur arahan yang jelas serta tindak balas yang pantas dan terselaras,” katanya.

  -- BERNAMA

 

  

 

Must Watch Video

Advertisement