Dalam satu kenyataan kakitangan mendakwa semakan dengan KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Perkeso mendapati bahawa walaupun pemotongan gaji telah dibuat untuk caruman berkanun, Petra News gagal menyerahkan bayaran bagi pihak pekerja dan majikan kepada pihak berkuasa berkaitan.
"Pekerja yang terjejas mempunyai bukti pemotongan ini dalam slip gaji bulanan mereka.
"Meskipun pemotongan telah dibuat, syarikat gagal memenuhi kewajipan undang-undang untuk menyerahkan bayaran tersebut, sekali gus menahan hak pekerja secara tidak sah. Kegagalan ini telah menyebabkan kesusahan kewangan kepada pekerja, termasuk permohonan pinjaman yang ditolak kerana caruman KWSP tidak dikreditkan.
"Pekerja juga bimbang akan dikenakan penalti oleh LHDN apabila memfailkan cukai pendapatan mereka," dakwa kenyataan itu.
Dalam pada itu, kakitangan terjejas telah membuat laporan polis di Balai Polis Travers, Brickfields, Kuala Lumpur pada 14 Februari 2025.
Sehubungan pelanggaran itu, mereka menuntut agar Petra News Sdn Bhd segera melunaskan semua caruman tertunggak KWSP, PCB dan Perkeso bagi tahun 2024 mengikuti keperluan undang-undang.
Selain daripada kegagalan menyerahkan caruman berkanun, pekerja juga mendakwa mengalami kelewatan pembayaran gaji sejak tahun 2024.
"Kakitangan yang terkesan telah mengemukakan aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di bawah Kementerian Sumber Manusia, yang kini sedang menjalankan siasatan," menurut kenyataan itu lagi.
Pada masa yang sama, kakitangan ingin menyampaikan penghargaan kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil kerana sudi membantu pekerja yang terjejas sejak isu ini didedahkan.
