MALAYSIA
Kalau ikut logik Afnan, MB Kedah dan Kelantan pun kena cuti – Kamil Munim

Desakan Dewan Pemuda Pas dan PN untuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil cuti sementara bagi menghadapi proses perbicaraan adalah hujah yang culas dan malas, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan, Kamil Munim. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Desakan Dewan Pemuda Pas dan Perikatan Nasional (PN) untuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil cuti sementara bagi menghadapi proses perbicaraan adalah hujah yang culas dan malas, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan, Kamil Munim.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu berkata, kalau mengikut logik yang sama, Menteri Besar Kelantan Datuk Nassurudin Daud dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor juga perlu mengambil cuti tempoh hari ketika menghadapi proses perbicaraan di mahkamah.
Tambahnya lagi, kenyataan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudeen bahawa perbicaraan perlu dijalankan "tanpa sebarang campur tangan eksekutif" adalah satu kenyataan yang bahaya dan tidak bertanggungjawab, menggambarkan seolah-olah wujud campur tangan eksekutif dalam pentadbiran kehakiman.
“Faktanya, keputusan Mahkamah Tinggi semalam adalah bukti jelas bahawa tidak wujud sebarang campur tangan dalam menentukan keputusan permohonan tersebut. Hakim bebas membuat penilaian berdasarkan hujah pihak-pihak di mahkamah.“Ini bukti jelas bahawa Kerajaan Madani menjunjung tinggi prinsip pengasingan kuasa termasuk kebebasan institusi kehakiman yang menjadi tunjang kepada sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini,” katanya lagi.
Selain itu, Kamil berkata, keupayaan Perdana Menteri untuk menjalankan tugasnya sebagai Ketua Eksekutif harus dinilai dari prestasi, bukan kebencian politik seperti yang diamalkan oleh Pas.
Terdahulu Pemuda Pas dan PN, dalam kenyataan pada Rabu, mendesak agar Perdana Menteri mengambil cuti sementara bagi memberikan ruang yang sepenuhnya kepada proses perbicaraan mahkamah berjalan secara adil, telus dan saksama tanpa sebarang campur tangan kuasa eksekutif.
“Kami juga mencadangkan agar Timbalan Perdana Menteri 1 atau Timbalan Perdana Menteri 2 untuk memangku jawatan Perdana Menteri bagi memastikan kelangsungan pentadbiran negara berjalan lancar sehingga kes ini diselesaikan.
“Pemuda PN berpegang teguh kepada prinsip integriti, akauntabiliti, dan kedaulatan undang-undang. Justeru, kami menggesa agar semua pihak menghormati keputusan mahkamah dan menyeru agar PMX berjiwa besar untuk memelihara integriti jawatan Perdana Menteri demi kepentingan negara dan rakyat,” tambah Ahli Parlimen Alor Setar itu.
Media sebelum ini melaporkan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah menolak permohonan Perdana Menteri untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan.
Ia termasuk sama ada seorang Perdana Menteri mempunyai kekebalan daripada tindakan saman.
Rujukan persoalan undang-undang itu berkaitan saman sivil yang difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther, berhubung dakwaan serangan seksual, yang didakwa berlaku tujuh tahun lalu.
Perdana Menteri dalam kenyataan susulan berkata, permohonannya untuk merujuk lapan persoalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan, bukan bertujuan mendapatkan kekebalan peribadi atau mengelak daripada semakan undang-undang.
Sebaliknya, beliau berkata ia bagi memastikan integriti sistem Perlembagaan dan melindungi jawatan awam tertinggi daripada litigasi, yang mungkin bermotifkan politik atau mengganggu institusi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami