MELAKA: Kerajaan merancang mengeluarkan kalendar khusus yang memperingati tarikh berlakunya pelbagai peristiwa penting yang memberi impak terhadap pembentukan negara pada tahun hadapan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Beliau berkata usaha berkenaan mampu menjadikan masyarakat lebih peka dan menghargai peristiwa bersejarah negara selain tarikh-tarikh penting sedia ada seperti Hari Kebangsaan.

"Sebenarnya masih banyak tarikh yang signifikan dan perlu dimasukkan dalam kalendar istimewa ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Jejak 20 Februari 1956: Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman.

Beliau berkata kerjasama proaktif antara Arkib Negara Malaysia, pihak muzium dan kerajaan negeri akan diwujudkan bagi pengumpulan maklumat berkaitan di samping menyusun tarikh-tarikh peristiwa yang sudah ada dalam rekod dengan lebih kemas.

"Dari situ, kita akan nampak macam Februari ada apa, Oktober ada apa selain tarikh-tarikh penting sedia ada. Mungkin jika bertindih atau banyak, kita susun mengikut kepentingannya dan kepelbagaian peristiwa penting yang berlaku akan membuatkan negara ini lebih dihargai," katanya.

Sementara itu, Hasnol Zam Zam berkata penganjuran program Jejak 20 Februari 1956 oleh Arkib Negara Malaysia merupakan inisiatif untuk memperkasakan pengesanan, pengumpulan, pemeliharaan dan memasyarakatkan maklumat dan bahan sejarah serta warisan negara.

Beliau berkata meskipun program seumpamanya telah dilaksanakan pada tahun-tahun sebelumnya, namun ia perlu diteruskan setiap tahun untuk mengingatkan masyarakat bahawa nikmat hidup dalam keadaan aman dan selesa kini adalah hasil pengorbanan pemimpin terdahulu memperjuangkan kemerdekaan.

Menurut beliau program itu juga mampu menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan untuk memperkukuhkan penghayatan terhadap kemerdekaan dan memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

"Penganjuran program ini di pekarangan bangunan yang bersejarah dan ikonik kepada kemerdekaan negara amatlah signifikan dan bertepatan sekali dalam memperingati jasa dan pengorbanan para pejuang kemerdekaan negara, " katanya.

--BERNAMA