Skip to main content

Malaysia

Kandungan digital kreatif digalakkan, namun keselamatan kanak-kanak jadi keutamaan - Fahmi

Aspek keselamatan kanak-kanak perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa jenayah dalam talian. - Gambar hiasan
Aspek keselamatan kanak-kanak perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa jenayah dalam talian. - Gambar hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Usaha memperkukuh ekonomi kreatif negara menerusi penghasilan kandungan digital perlu berjalan seiring dengan perlindungan kanak-kanak daripada ancaman jenayah seksual dalam talian, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, meskipun penghasilan kandungan kreatif di platform digital seperti YouTube terus digalakkan, aspek keselamatan kanak-kanak perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa jenayah dalam talian.

“Kita nak menggalakkan penghasilan kandungan kreatif termasuk dalam platform seperti YouTube. Namun cabaran kita adalah untuk memastikan aspek-aspek jenayah seperti jenayah seksual terhadap kanak-kanak, pengantunan kanak-kanak ini tidak berlaku.

“Yang menjadi keutamaan adalah mengelakkan anak-anak daripada menggunakan platform untuk bercakap dengan orang dewasa yang berkemungkinan akan memangsakan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Creators for Impact 2026 anjuran Google di sini pada Selasa.

Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus menggalakkan penghasilan kandungan kreatif menerusi platform digital sebagai sebahagian usaha memperkukuh ekonomi kreatif negara.

Katanya, Majlis Ekonomi Jingga yang dibentuk bagi mengurus dasar dan meneliti program berkaitan ekonomi kreatif turut menyokong usaha memperkasa sektor berkenaan.

Mengulas program itu, Fahmi berkata inisiatif berkenaan memberi pendedahan kepada pencipta kandungan mengenai teknik menghasilkan kandungan yang relevan, selain menyampaikan mesej keselamatan dalam talian kepada penonton.

Terdahulu, dalam ucapannya pada program itu, beliau berkata pencipta kandungan mempunyai peranan penting dalam memupuk penggunaan internet secara bertanggungjawab dalam kalangan golongan muda.

Menurutnya, kandungan yang menarik dan relevan boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan digital, khususnya dalam kalangan pengguna muda.

Beliau berkata kerjasama lebih erat antara kerajaan, syarikat teknologi dan pencipta kandungan penting bagi memastikan mesej keselamatan digital dapat disampaikan dengan berkesan kepada golongan berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement