KUALA LUMPUR: Kerajaan Kelantan mengambil pendekatan berhati-hati dalam meneruskan projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) di Tunjong, meskipun projek berkenaan mengambil masa lebih lama berbanding sasaran asal.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Izani Husin berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan kontraktor yang dipilih mempunyai kemampuan kewangan dan kompetensi mencukupi.
Menurutnya, kerajaan negeri mahu mengelakkan risiko projek berdepan masalah atau terbengkalai sekiranya kontraktor yang dilantik tidak mempunyai keupayaan untuk melaksanakan kerja sehingga selesai.
“Kerja-kerja tanah penambunan semua akan siap pada Mei 2027. Kos tambah tanah semua RM14 juta. Jadi kerajaan negeri ini berhati-hati, terlalu berhati-hati.
“Sebab apa jadi lama? Ini kerana berhati-hatilah. Jika kontraktor itu dia berdaya saing dan kontraktor tak cukup pitih (duit), kita tidak akan buat. Kita pilih yang terbaik. Lambat tak apa asal jadi molek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu, hari ini.
Isu kelewatan projek berkenaan dibangkitkan Mohd Syhabuddin meminta kerajaan negeri menjelaskan kos keseluruhan terkini serta tempoh sebenar penyiapan KB Sentral.
Mohd Syahbuddin berkata, projek itu sebelum ini diumumkan bernilai kira-kira RM64 juta dan dijangka siap pada penghujung 2026.
Bagaimanapun, menurut beliau, susulan pertukaran pelaksana, pengambilalihan semula projek serta pelaksanaan kerja rawatan dan penstabilan tanah, sasaran penyiapannya kemudian berubah sehingga menjangkau 2028.
Beliau turut meminta penjelasan sama ada kos RM14 juta bagi kerja tanah itu termasuk dalam nilai RM64 juta asal atau merupakan kos tambahan kepada keseluruhan projek.
Dalam pada itu, Izani berkata, kerja-kerja tanah bagi projek KB Sentral yang kini mencatat kemajuan 40.7 peratus dijangka siap pada Mei 2027, sebelum fasa pembinaan terminal dimulakan seawal Jun 2027.
Kerajaan negeri, katanya, turut meneliti kaedah pelaksanaan yang dapat mengurangkan beban kewangan negeri, termasuk membuka ruang kepada syarikat untuk mengemukakan cadangan menerusi model Build-Operate-Transfer (BOT).
Pendekatan itu juga menyebabkan reka bentuk akhir KB Sentral masih fleksibel bergantung kepada kaedah pelaksanaan dan cadangan yang diterima kerajaan negeri.