KUALA LUMPUR: Di sebalik ketidakhadiran lebih 10,000 pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, jelas wujud keperluan mendesak untuk kerajaan menyediakan laluan pendidikan alternatif yang lebih fleksibel dan berorientasikan kemahiran.


Ringkasan AI
  • Terdapat keperluan mendesak untuk kerajaan menyediakan laluan pendidikan alternatif yang lebih fleksibel dan berorientasikan kemahiran, seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
  • TVET memberi peluang kepada pelajar untuk memperoleh kemahiran khusus dan meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam industri yang memerlukan tenaga kerja mahir.
  • TVET bukan sahaja menyediakan latihan awal tetapi juga peluang keusahawanan dan peningkatan kemahiran sepanjang hayat, menjadikannya pilihan bijak untuk membina kerjaya yang stabil dan berdaya saing.


Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk Sri Ganes Palaniapan berpendapat, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) boleh menjadi penyelesaian kepada pelajar yang kurang cenderung kepada akademik tetapi memiliki kebolehan teknikal serta praktikal yang tinggi.

Menurutnya, kelebihan TVET bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk memperoleh kemahiran khusus, malah turut meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam industri yang memerlukan tenaga kerja mahir.

"Langkah memperluaskan akses kepada TVET serta memperkenalkan lebih banyak program yang selari dengan keperluan industri dilihat sebagai usaha penting dalam menangani isu keciciran pelajar daripada sistem pendidikan konvensional," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Sri Ganes yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SG TVET Group berkata, TVET kini bukan lagi sekadar laluan kedua, sebaliknya menjadi platform utama dalam membentuk tenaga kerja yang kompetitif, mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, dan membuka peluang pekerjaan tanpa sempadan.

Beliau memberitahu, TVET memberi peluang kepada mereka untuk memperoleh kemahiran praktikal dalam masa yang singkat, membolehkan mereka memasuki pasaran kerja lebih awal berbanding laluan akademik tradisional.

Keunggulan TVET katanya, terletak pada kemampuannya untuk menyediakan graduan dengan kemahiran yang relevan dan siap untuk bekerja, meningkatkan kebolehpasaran mereka di pasaran kerja.

"Banyak syarikat kini mengiktiraf bahawa kemahiran praktikal yang diperoleh melalui TVET sering kali lebih berharga berbanding kelayakan akademik semata-mata, terutamanya bagi mereka yang tidak memiliki pengalaman kerja yang mencukupi.

"Selain itu, sektor TVET juga menawarkan potensi pendapatan yang lebih tinggi, dengan banyak graduan TVET memperoleh gaji yang lebih lumayan berbanding mereka yang hanya memiliki kelayakan akademik tanpa pengalaman industri," ujar beliau lagi.

Sri Ganes menambah, tidak hanya terbatas pada latihan awal, laluan TVET juga menyediakan peluang keusahawanan dan peningkatan kemahiran sepanjang hayat, yang memberi ruang untuk individu berkembang dalam pelbagai bidang dan membuka peluang untuk memulakan perniagaan mereka sendiri.

Jadi jelas beliau, laluan TVET dikenali sebagai pilihan bijak bagi mereka yang ingin membina kerjaya yang stabil dan berdaya saing di masa depan.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan mengesahkan lebih 10,000 calon gagal menduduki peperiksaan SPM tahun lalu.