KUANTAN: Kebajikan dan kesejahteraan guru tidak boleh dipandang sebagai perkara remeh, kata Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi.
Beliau berkata, guru adalah antara insan mulia yang bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi juga membentuk sahsiah, pemikiran dan nilai asas kepada sesebuah bangsa.
“Kita sering bercakap tentang betapa besar peranan guru dalam membentuk masa depan anak, namun dalam kita meletakkan harapan tinggi kepada pendidik, jangan sesekali kita lupa mereka juga mempunyai kehidupan, keluarga, tanggungjawab dan impian yang ingin dicapai,” katanya.
Ahmad Farhan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan hari ini yang melibatkan 642 individu menerima penghargaan mereka.
Beliau berkata, sektor pendidikan sentiasa menjadi agenda utama Kerajaan MADANI dan terus diberikan perhatian termasuk menerusi peningkatan peruntukan untuk Kementerian Pendidikan kepada hampir RM69 bilion dalam Belanjawan 2027.
Pada masa sama, beliau berkata, kebajikan kumpulan pendidik tertentu turut diberikan perhatian melalui peningkatan Insentif Pengajaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas daripada RM250 kepada RM300 sebulan.
Pada majlis itu, Ahmad Farhan turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM30,000 sebagai tanda komitmen terhadap kebajikan warga pendidik dan kecemerlangan pendidikan di daerah tersebut.
“Saya berharap sumbangan ini dapat dimanfaatkan secara berhemah bagi memenuhi keperluan pendidikan di daerah ini, khususnya dalam menambah baik kemudahan, memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran serta mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif.
“Mudah-mudahan manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh guru dan murid, sekali gus menyumbang kepada peningkatan mutu serta pencapaian pendidikan setempat,” katanya.
-- BERNAMA