KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberikan penangguhan pelaksanaan bersyarat kepada Datin Seri Rosmah Mansor bagi pembayaran RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas berpangkalan di Lubnan, Global Royalty Trading SAL berhubung kehilangan 43 barang kemas sementara menunggu rayuannya.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya Kehakiman Marianne Antoinette Ghani memerintahkan Rosmah untuk mendepositkan jumlah penuh penghakiman sebanyak RM67,461,027.37 ke dalam akaun pemegang amanah yang dipegang peguam kedua-dua belah pihak dalam tempoh sebulan dari hari ini.
Penangguhan pelaksanaan bersyarat itu bermaksud Rosmah tidak perlu membayar secara terus kepada Global Royalty sementara rayuannya belum diputuskan di Mahkamah Rayuan dengan syarat mematuhi perintah mahkamah untuk mendepositkan jumlah tersebut.
Marianne ketika menyampaikan keputusan melalui aplikasi Zoom berkata mahkamah mendapati penggantungan bersyarat yang memerlukan defendan mendepositkan jumlah penghakiman ke akaun pemegang amanah sebagai langkah terbaik bagi mengimbangi hak kedua-dua pihak.
“Ini bagi memastikan plaintif (Global Royalty) sebagai pihak yang berjaya dalam tuntutan di mahkamah mendapat jaminan terhadap hasil kejayaan itu dan mengelakkan prejudis yang disebabkan oleh penggantungan tanpa syarat sekiranya rayuan itu ditolak.
“Pada masa yang sama, ia memastikan hak defendan (Rosmah) untuk merayu tidak menjadi sia-sia sekiranya rayuannya dibenarkan kerana wang penghakiman itu mudah diperoleh semula.
“Dalam keadaan ini, mahkamah memerintahkan supaya penggantungan pelaksanaan bersyarat diberikan kepada defendan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan,” katanya.
Pada prosiding itu, Rosmah diwakili peguam M. Reza Rahim manakala Datuk David Gurupatham mewakili Global Royalty.
Pada 10 Jun, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membayar RM67.5 juta kepada Global Royalty dalam tempoh sebulan selepas memutuskan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu bertanggungjawab ke atas kehilangan barang kemas tersebut yang didakwa berada dalam simpanannya.
Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Rosmah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 12 Jun serta memohon penangguhan pelaksanaan keputusan tersebut sementara menunggu keputusan rayuan.
Global Royalty memfailkan saman pada 29 Mac 2023 mendakwa Rosmah secara palsu menyatakan 44 barang kemas termasuk kalung berlian, gelang dan tiara yang dihantar menerusi ejen syarikat itu dirampas pihak berkuasa Malaysia mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Syarikat itu mendakwa hanya satu barang kemas berada dalam simpanan polis manakala 43 lagi tidak berada dalam jagaan pihak berkuasa.
Global Royalty mendakwa Rosmah cuba meletakkan tanggungjawab kehilangan tersebut kepada Kerajaan Malaysia sedangkan barang kemas berkenaan sebenarnya telah hilang.
Sementara itu, David dalam kenyataan berkata sekiranya Rosmah gagal mendepositkan jumlah penuh penghakiman dalam tempoh 30 hari, Global Royalty berhak untuk meneruskan pelaksanaan penghakiman yang memihak kepada mereka.
Beliau berkata dari sudut praktikal, Global Royalty dilindungi dalam kedua-dua keadaan, sama ada jumlah penuh penghakiman itu dijamin dalam tempoh 30 hari atau anak guamnya berhak untuk meneruskan tindakan penguatkuasaan.
“Kami berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang memastikan penghakiman Global Royalty dilindungi sepenuhnya dan dijamin sementara menunggu rayuan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersama-sama peguam Venothani Rajagopal.
-- BERNAMA