Skip to main content

Malaysia

Kelahiran bayi di Malaysia turun 4.5 peratus, kadar kesuburan 1.5 anak pada 2025 - DOSM

Penurunan itu turut menyaksikan kadar kelahiran kasar (CBR) merosot kepada 11.6 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk berbanding 12.2 kelahiran pada tahun sebelumnya. - Gambar hiasan
Penurunan itu turut menyaksikan kadar kelahiran kasar (CBR) merosot kepada 11.6 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk berbanding 12.2 kelahiran pada tahun sebelumnya. - Gambar hiasan

Advertisement

Ringkasan AI

  • Malaysia mencatat penurunan kelahiran hidup sebanyak 4.5 peratus pada 2025 dengan 396,175 kelahiran berbanding 414,918 pada 2024, menurut DOSM.
  • Kadar kesuburan jumlah negara menurun kepada 1.5 anak pada 2025, dengan etnik Melayu tertinggi (1.9) dan etnik Cina terendah (0.7).
  • Kadar kematian kasar kekal 5.8 kematian per 1,000 penduduk, dengan Perak tertinggi (8.2) dan Putrajaya terendah (2.6) pada 2025.

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan penurunan kelahiran hidup sebanyak 4.5 peratus pada 2025, dengan kadar kesuburan wanita turut merosot kepada 1.5 anak, sekali gus memperlihatkan trend penurunan kelahiran di negara ini, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM dalam kenyataan hari ini memaklumkan berdasarkan laporan Perangkaan Penting, Malaysia, 2026 yang diterbitkan hari ini, sebanyak 396,175 kelahiran hidup direkodkan tahun lepas berbanding 414,918 kelahiran pada 2024, iaitu pengurangan 18,743 kelahiran.

Menurut DOSM, penurunan itu turut menyaksikan kadar kelahiran kasar (CBR) merosot kepada 11.6 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk berbanding 12.2 kelahiran pada tahun sebelumnya.

"Semua kumpulan etnik utama merekodkan penurunan CBR pada 2025 berbanding 2024. Etnik Melayu merekodkan CBR tertinggi dengan 14.9 kelahiran, manakala etnik Cina kekal merekodkan CBR terendah dengan 5.0 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk pada 2025," menurut kenyataan itu.

DOSM memaklumkan semua negeri merekodkan penurunan CBR pada 2025 berbanding 2024 dengan Terengganu merekodkan CBR tertinggi iaitu 18.7 kelahiran, manakala Pulau Pinang merekodkan CBR terendah dengan 9.3 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk.

Menurut DOSM, kadar kesuburan jumlah (TFR) negara turut menurun daripada 1.6 anak pada 2024 kepada 1.5 anak pada 2025 bagi setiap perempuan berumur 15-49 tahun.

"Etnik Melayu kekal tidak berubah dan terus merekodkan TFR tertinggi dengan 1.9 anak bagi setiap perempuan berumur 15-49 tahun. TFR bagi Bumiputera lain menurun daripada 1.6 anak pada 2024 kepada 1.5 anak pada 2025, manakala TFR bagi etnik India kekal tidak berubah pada 1.1 anak.

"Etnik Cina merekodkan TFR terendah, menurun daripada 0.9 anak kepada 0.7 anak pada 2025," menurut kenyataan itu.

Di peringkat negeri, DOSM memaklumkan Terengganu merekodkan TFR tertinggi dengan 2.5 anak pada 2025, diikuti Kelantan (2.3) dan Pahang (1.8). Sebaliknya, Pulau Pinang merekodkan TFR terendah dengan 1.1 anak, menurun daripada 1.2 anak pada 2024.

Menurut DOSM, bilangan kematian meningkat 0.4 peratus daripada 198,992 kematian pada 2024 kepada 199,807 kematian pada tahun sebelumnya.

"Kadar kematian kasar (CDR) kekal tidak berubah pada 5.8 kematian bagi setiap 1,000 penduduk pada 2025. Etnik India merekodkan CDR tertinggi dengan 8.2 kematian, manakala Bumiputera lain merekodkan CDR terendah dengan 5.7 kematian pada 2025.

"Selain itu, CDR bagi etnik Cina menurun daripada 7.6 pada 2024 kepada 7.5 pada 2025," menurut kenyataan itu.

DOSM memaklumkan Perak merekodkan kadar kematian kasar tertinggi iaitu 8.2 kematian bagi setiap 1,000 penduduk, manakala Putrajaya mencatatkan kadar terendah sebanyak 2.6 kematian.

-- BERNAMA

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

  • Q: Apakah penemuan utama laporan Perangkaan Penting, Malaysia, 2026 mengenai kadar kelahiran di Malaysia? 
    A: Laporan menunjukkan penurunan kelahiran hidup sebanyak 4.5 peratus pada 2025, dengan 396,175 kelahiran direkodkan berbanding 414,918 pada 2024.
  • Q: Bagaimana kadar kesuburan jumlah (TFR) berubah di Malaysia pada 2025? 
    A: Kadar kesuburan jumlah menurun daripada 1.6 anak pada 2024 kepada 1.5 anak pada 2025 bagi setiap perempuan berumur 15-49 tahun.
  • Q: Negeri manakah yang mencatatkan kadar kelahiran kasar (CBR) dan kadar kesuburan jumlah (TFR) tertinggi serta terendah pada 2025? 
    A: Terengganu mencatatkan CBR tertinggi (18.7 kelahiran) dan TFR tertinggi (2.5 anak), manakala Pulau Pinang mencatatkan CBR terendah (9.3 kelahiran) dan TFR terendah (1.1 anak).
  • Q: Apakah perubahan yang dicatatkan dalam kadar kematian kasar (CDR) di Malaysia pada 2025? 
    A: Kadar kematian kasar kekal pada 5.8 kematian bagi setiap 1,000 penduduk pada 2025, dengan bilangan kematian meningkat 0.4 peratus kepada 199,807 kematian.
  • Q: Bagaimana perbezaan kadar kelahiran dan kematian mengikut etnik di Malaysia pada 2025? 
    A: Etnik Melayu mencatatkan CBR dan TFR tertinggi, manakala etnik Cina mencatatkan CBR dan TFR terendah. Etnik India mencatatkan CDR tertinggi, sementara Bumiputera lain mencatatkan CDR terendah.

Must Watch Video

Advertisement