KOTA BHARU: Kelantan kekal merekodkan keluasan tanah rizab Melayu tertinggi iaitu sebanyak 526,083 hektar atau 91.5 peratus, melibatkan 816,020 hak milik setakat Jun lepas.
Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata keluasan tanah bukan rizab Melayu pula ialah 48,344 hektar atau 8.4 peratus, melibatkan 43,255 hak milik.
“Berdasarkan rekod pentadbiran tanah hingga Jun 2026, jumlah keseluruhan keluasan tanah berhak milik di Kelantan ialah 574,427 hektar, melibatkan 859,275 hak milik.
“Alhamdulillah, Kelantan kekal sebagai negeri yang mempunyai keluasan tanah rizab Melayu tertinggi berbanding negeri lain di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Yunus (Pas-Pasir Tumboh) berhubung keluasan semasa tanah rizab Melayu di Kelantan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Mohd Nassuruddin berkata angka berkenaan merupakan jumlah yang telah diselaraskan bagi kesemua 11 jajahan, dengan lebih sembilan persepuluh daripada keseluruhan tanah berhak milik di negeri itu berada dalam kategori rizab Melayu.
“Dari segi keluasan, Gua Musang merekodkan tanah rizab Melayu terbesar iaitu 122,735 hektar, diikuti Pasir Mas (56,656 hektar), Tanah Merah (56,246 hektar) dan Kuala Krai (53,473 hektar).
“Dari segi peratusan pula, Tanah Merah merekodkan kadar tertinggi iaitu 99.9 peratus, diikuti Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas, Kota Bharu dan Jeli,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata tiada penyusutan kawasan rizab Melayu berlaku di negeri itu, manakala Seksyen 13A Enakmen Rizab Melayu Kelantan membenarkan pemilikan tanah kepada bukan Melayu dalam kawasan rizab Melayu.
Mohd Nassuruddin berkata peruntukan sama turut memberi kuasa kepada pihak berkuasa negeri untuk mengawal urus niaga dalam kawasan rizab Melayu, termasuk tidak membenarkan sekiranya menjejaskan kepentingan rizab Melayu.
-- BERNAMA