Skip to main content

Malaysia

Kelantan pergiat usaha pulihara ekosistem marin, tarik pendaratan penyu

Menerusi usaha ini, diharapkan ekosistem pantai akan kembali sesuai untuk penyu mendarat dan bertelur. - Gambar hiasan
Menerusi usaha ini, diharapkan ekosistem pantai akan kembali sesuai untuk penyu mendarat dan bertelur. - Gambar hiasan
Advertisement

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mempergiat usaha memulihara ekosistem marin di Pantai Pachakan, Pasir Puteh menerusi kerjasama Jabatan Perikanan dan myKomuniti Perikanan (myKP) bagi mewujudkan persekitaran sesuai untuk menarik semula pendaratan penyu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi negeri Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata beberapa siri gotong-royong membersihkan kawasan pantai telah dilaksanakan dengan kerjasama myKP Pasir Puteh dan Bachok.

“Kita berharap menerusi usaha ini, ekosistem pantai akan kembali sesuai untuk penyu mendarat dan bertelur. Usaha susulan juga akan dilaksanakan kerana kehadiran spesies ini berpotensi memberikan pulangan ekonomi kepada nelayan serta penduduk setempat,” katanya.

Advertisement

Tuan Mohd Saripudin berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mengenai perancangan kerajaan negeri untuk menerima pendaratan penyu di Pantai Pachakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Beliau berkata penyu mempunyai naluri kembali ke pantai yang sama atau kawasan kelahirannya untuk bertelur apabila mencapai usia matang.

Advertisement

“Apabila penyu datang bertelur di sesuatu kawasan, ia seolah-olah mempunyai sistem GPS (sistem penentu kedudukan global) sendiri. Anak penyu yang dilepaskan akan membesar dan lazimnya kembali ke pantai sama untuk bertelur.

“Justeru, kebersihan pantai perlu terus dijaga bagi memastikan habitat ini kekal sesuai untuk pembiakan spesies berkenaan,” katanya.

Pada Ogos lepas, media melaporkan penemuan penyu agar mendarat di Pantai Pachakan, Pasir Puteh yang menjadi rekod pertama selepas kira-kira tiga dekad tanpa pendaratan semula jadi di kawasan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement