Skip to main content

Malaysia

Kelantan perkukuh kesiapsiagaan hadapi tengkujuh - MB

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata pengalaman mengurus bencana banjir saban tahun menuntut penyelarasan lebih menyeluruh, khususnya dari segi persediaan logistik dan kecekapan penyampaian bantuan kepada mangsa. - Gambar fail/BERNAMA
Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata pengalaman mengurus bencana banjir saban tahun menuntut penyelarasan lebih menyeluruh, khususnya dari segi persediaan logistik dan kecekapan penyampaian bantuan kepada mangsa. - Gambar fail/BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan Negeri Kelantan memperkukuh kesiapsiagaan musim tengkujuh melalui penyelarasan sistem amaran awal, logistik dan pusat pemindahan sementara.
  • Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara membincangkan situasi jerebu, kesan terhadap kesihatan rakyat serta keselamatan murid sekolah.
  • Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri diperkukuh bagi memastikan pengurusan bencana dan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh menerusi penyelarasan sistem amaran awal, keperluan logistik dan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata pengalaman mengurus bencana banjir saban tahun menuntut penyelarasan lebih menyeluruh, khususnya dari segi persediaan logistik dan kecekapan penyampaian bantuan kepada mangsa.

“Bagi Kelantan, kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh sentiasa menjadi agenda penting kerajaan negeri,” katanya dalam hantaran Facebook selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, semalam.

Beliau berkata mesyuarat berkenaan turut membincangkan situasi jerebu, terutama kesannya kepada kesihatan rakyat dan keselamatan murid sekolah.

Mohd Nassuruddin berkata penambahbaikan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan turut dibincangkan bagi memastikan aspek kesihatan awam dan kelangsungan pendidikan dapat diurus secara seimbang.

Beliau berkata persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang berpotensi membawa hujan lebat dan banjir turut diberi perhatian, selain jangkaan fenomena Super El Nino pada tahun hadapan.

“Komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta kerjasama rentas agensi penting bagi memastikan pengurusan bencana dilaksanakan dengan berkesan.

“Kesepaduan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri amat penting bagi memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan di lapangan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Kelantan akan terus memperkukuh kerjasama dengan semua pihak bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

-- BERNAMA

 

TAG: kesiapsiagaan, Kelantan, Mohd Nassuruddin, banjir, jerebu, tengkujuh

Must Watch Video

Advertisement