KUALA LUMPUR: Tanah Aina Fareena Café & Restaurant menafikan kenyataan seorang exco Kerajaan Negeri Pahang, bahawa kafe tersebut telah diberi notis peringatan lebih awal sebelum laluan masuk ke parkir berhampiran premis itu ditutup.
Pengasas dan pemiliknya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, yang menganggap penutupan itu sebagai tindakan drastik, mendakwa ia menyebabkan akses ke kafe terhalang, dan menimbulkan kesukaran kepada pengunjung yang sudah membuat tempahan awal sempena Ramadan.
Shariffa Sabrina mendakwa, tindakan itu sebahagian usaha pihak tertentu 'membalas' kritikannya terhadap projek pembalakan yang mengakibatkan pencemaran sungai berhampiran tapak perusahaannya, beberapa tahun lalu.
“Kita nak bagi tahu (kerajaan negeri), dah buat (projek pembalakan) ini cukuplah, jangan buat lagi. Nanti semua rosak. Itu niat kami, bukan niat kita nak bermusuh dengan kerajaan, bermusuh dengan siapa-siapa. Kami sayang negara kami. Sebab itu kami bersuara.
“Selepas (membuat kenyataan itu pada) 2022, saya tiba-tiba kena saman, kata saya fitnah tentang pembalakan, bisnes saya akhirnya merudum teruk, mereka saman saya, kata saya duduki tanah saya secara haram,” dakwanya dalam satu sidang media pada Rabu.
Pada Selasa, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, dan Kesihatan Pahang, Ir Razali Kassim dilaporkan berkata, peringatan awal telah diberikan kepada pengurusan kafe tersebut, bagi memaklumkan penutupan laluan oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata, kawasan tanah tersebut merupakan milik kerajaan negeri, dan tindakan menjadikan ia sebagai parkir adalah menduduki tanah kerajaan negeri secara haram.
Bagaimanapun Shariffa Sabrina berkata, makluman penutupan kawasan parkir tersebut hanya diketahui apabila pegawai-pegawai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) datang ke premis tersebut pada 18 Mac, sedangkan notis sepatutnya diberikan tujuh hari sebelum.
“Apa salahnya kita berbincang, kami sanggup bayar sewa, tetapi jangan tutup periuk nasi orang. Kenapa tak fikir pekerja saya macam mana, macam mana nak beri gaji. Tempat tu macam mana, dah belanja berjuta-juta ringgit.
“Ini kan satu investment, satu peluang ekonomi untuk kerajaan, bagi menaikkan nama Bentong. Saya memohon merayu kepada Kerajaan Pahang bagilah saya peluang. Saya ni seolah-olah musuh. Saya ni bukan musuh, saya nak tingkatkan lagi industi ekopelancongan, dan Tanah Aina adalah yang terbaik,” rayunya lagi.
Menurut salinan surat rayuan yang dialamatkan kepada Pengarah UPNP bertarikh 22 Mac, pengurusan kafe itu berkata, kawasan parkir telah dimasukkan ke dalam permohonan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) ke Pejabat Daerah dan Tanah Bentong sejak 2022, namun tiada sebarang jawapan.
Untuk rekod, Shariffa Sabrina, yang juga bekas Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Raub pada 14 Mac 2022, atas tiga pertuduhan menduduki tanah tanpa kebenaran.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2 petang, 10 dan 11 Jun 2021 dengan menduduki tanah di Lot 26148, GM4135 di Mukim Bentong; Lot 1053, PM0053 Mukim Ulu Dong dan Lot 10061, GM1572 Mukim Tras, kedua-duanya di Raub tanpa kebenaran yang sah.
Tanah terlibat buat masa ini didakwa dijadikan resort dan tempat perniagaan, iaitu Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant, Tanah Aina Fahad Glamping Resort dan Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort.
Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah dan mendakwa tanah tersebut merupakan miliknya yang sah.
Perbicaraan berhubung kes tersebut dijadual bersambung Julai tahun ini.
Mengulas lanjut, Shariffa Sabrina berkata, beliau merayu untuk diberikan peluang meneruskan perniagaannya yang dimulakan sejak tujuh tahun lepas, kerana bukan mudah untuk seorang wanita sepertinya mewujudkan satu tapak ekopelancongan seperti Tanah Aina.
“Malaysia ni kita nak menarik minat dalam ekopelancongan. Eko tu menjaga, melihat alam semula jadi. Saya wujudkan Tanah Aina, untuk menarik minat masyarakat untuk sayangkan alam, untuk hormati alam, dan untuk kita bermesra dengan alam.
“Itu niat saya, kalau nak kata eko ni buat duit, boleh tanya staf, tak buat duit langsung. Orang tertentu saja boleh buat,” katanya lagi.
Firdaus Azil
Wed Mar 27 2024

Shariffa Sabrina mendakwa, tindakan terhadap kawasan parkir kafe itu adalah 'balasan' ke atas kenyataan beliau yang mengkritik projek pembalakan di kawasan itu.

Mahkamah khas SOSMA: Pendekkan atau hapus tempoh tahanan 28 hari tanpa bicara
Kerajaan juga wajar mempertimbangkan pindaan akta termasuk peruntukan mengenai isu jaminan bagi mengurangkan kesesakan di penjara.

Malaysia semakin popular sebagai destinasi acara korporat India
Segmen MICE merupakan antara bidang tumpuan utama Tourism Malaysia pada SATTE tahun ini di New Delhi.

Pemandu maut, nahas dua lori di Lebuhraya Utara Selatan
Mangsa yang berusia 43 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

PGA tumpas cubaan seludup 1,000 anak pokok Bromeliad
Anggota Batalion 8 PGA menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan pada kira-kira 5.30 petang, dalam Op Taring Wawasan.

When Legend Rise: KO! Adli Hafidz tumbangkan peninju Indonesia dalam pusingan ketiga
Adli Hafidz Pauzi menumbangkan Sony Manakane secara knockout (KO) dalam pertarungan When Legend Rise, di Bangkok, malam tadi.

Sanggup bujang, kerja sambilan demi jaga bapa
Bagi Noraziana, bapanya adalah segala-galanya dan sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga dengan sebaiknya sebagai membalas jasa beliau.
JAWI panggil individu pakai seperti wanita dalam acara hiburan
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan memanggil semua individu yang berpakaian menyerupai wanita dalam sebuah acara hiburan pada 16 Februari lalu.
Budak tercekik gula-gula kenyal meninggal dunia
Kanak-kanak berusia 10 tahun yang dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata meninggal dunia.
Warga asing ditahan jual tisu di lampu isyarat
Seorang lelaki warga asing berusia 49 tahun ditahan polis di lampu isyarat Puchong Jaya selepas didapati menjual tisu kepada pengguna jalan raya, sekali gus mengganggu kelancaran lalu lintas.
Pistol berkarat ditemukan di belakang medan selera Pantai Bersih
Sepucuk pistol berkarat dan tidak berfungsi ditemukan di kawasan belakang sebuah medan selera di Pantai Bersih Butterworth pada Rabu.

Kemelut Tanah Aina: ‘Saya dilayan seperti musuh kerajaan negeri’ - Shariffa Sabrina
Shariffa Sabrina mendakwa, ia sebahagian balasan ke atas kenyataan beliau dahulu, yang mengkritik projek pembalakan di kawasan itu.

Kibar bendera atau tidak, bantuan tetap diberi - Shariffa Sabrina
Tanda pagar bendera putih berkibaran di alam maya dan di dunia realiti, kibarannya membawa makna adanya kepayahan dan keperitan yang tersembunyi.

PEKA mahu pembangunan di Hutan Kekal Lentang dihentikan
Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil mendakwa punca kejadian banjir lumpur di kilometer 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak adalah akibat aktiviti pembalakan tidak terkawal.