SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 4 Mac untuk keputusan permohonan ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matin bagi membatalkan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

Hakim Roszianayati Ahmad memutuskan demikian selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan peguam Marcus Lee yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf selaku pemohon.

"Mahkamah menetapkan 4 Mac untuk keputusan," kata Hakim Roszianayati.

Pada 21 Jan lepas, pasangan itu memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi membatalkan pertuduhan dihadapi mereka dengan alasan pertuduhan terbabit tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 dan mereka turut memohon agar dilepas dan dibebaskan serta-merta.

Terdahulu, Lee berhujah pertuduhan dihadapi anak guamnya adalah defektif dan kabur kerana tidak mematuhi Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah.

"Pertuduhan terhadap tertuduh-tertuduh ialah mereka telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikalnya, tidak dimaklumkan cara sama ada pengabaian itu mungkin atau tidak menyebabkan kecederaan.

"Berkemungkinan terdapat pengabaian, tetapi tidak mungkin pengabaian menyebabkan kecederaan. 'Cara' jenayah itu dilakukan mesti dinyatakan dalam pertuduhan sepertimana perkataan 'cara' dimasukkan dalam pertuduhan yang dipertuduhkan terhadap mereka," kata peguam itu.

Raja Zaizul Faridah berhujah butiran elemen-elemen Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dibuktikan pendakwaan selaku responden antaranya mangsa ialah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, tertuduh mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa dan tertuduh mengabaikan mangsa yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Beliau berkata pertuduhan terhadap kedua-dua pemohon adalah jelas, tidak kabur dan tidak defektif yang memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 152 dan Seksyen 153 Kanun Tatacara Jenayah dengan elemen di dalam pertuduhan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak telah dipenuhi.

"Untuk makluman mahkamah, kes ini telah dibicarakan di Mahkamah Sesyen (Petaling Jaya) dan setakat ini, pihak pendakwaan telah memanggil 20 saksi untuk memberi keterangan. Perbicaraan akan bersambung pada 11 Mac ini dan mungkin pihak kami akan memanggil 10 lagi saksi pendakwaan.

"Setakat ini, kebanyakan saksi pendakwaan telah disoal balas oleh pihak peguam, jika pertuduhan terhadap pemohon-pemohon ini adalah kabur dan defektif, bagaimanakah mereka (pihak peguam) boleh menyoal balas saksi-saksi pendakwaan? Maka, pertuduhan adalah jelas dan tidak defektif," katanya dan menambah permohonan pemohon tidak berasas, tidak bermerit dan bersifat akademik.

Raja Zaizul Faridah berkata tidak ada keperluan bagi pihak pendakwaan memberi butiran bagaimana kesalahan itu dilakukan kerana ia melibatkan keterangan-keterangan yang akan dikemukakan melalui saksi-saksi pendakwaan.

Pada 3 Feb lepas, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menolak bantahan awal pihak pembelaan yang mendakwa pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh adalah cacat atau defektif.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira, kedua-duanya berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya dan mangsa dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

-- BERNAMA