Skip to main content

Malaysia

Keputusan rayuan kes rogol Da’i Syed diketahui hari ini

Syed Shah Iqmal (tengah) ditemani isterinya Hana, tiba di Mahkamah Rayuan pada jam 8.55 pagi ini. - Foto Sinar Harian
Syed Shah Iqmal (tengah) ditemani isterinya Hana, tiba di Mahkamah Rayuan pada jam 8.55 pagi ini. - Foto Sinar Harian
Advertisement

PUTRAJAYA: Keputusan rayuan akhir pendakwah selebriti Da’i Syed untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan kerana merogol tujuh tahun lalu atau dibebaskan sepenuhnya, akan diputuskan Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah, dijadualkan bersidang bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid membuat keputusan terhadap rayuan Da’i Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31 pada jam 9 pagi.

Syed Shah Iqmal yang memakai jubah berwarna putih dan ditemani isterinya, Hana Ismail tiba di mahkamah pada jam 8.55 pagi.

Advertisement

Pada prosiding 3 Ogos lalu, peguam, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff dan Datuk M Athimulan yang mewakili Syed Shah Iqmal berhujah, Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf ketika mensabitkan anak guamnya atas pertuduhan tersebut.

Pembelaan juga memberitahu, ia termasuk dapatan hakim yang melabelkan mangsa sebagai wanita naif.

Advertisement

Mereka berhujah, dapatan itu bercanggah dengan keterangan pengadu yang mengatakan dia seorang dewasa, matang dan mampu menjaga keselamatan sendiri.

Peguam mendedahkan terdapat pelbagai keadaan yang menunjukkan hubungan seksual antara perayu dan mangsa berlaku atas dasar suka sama suka.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim yang bertindak sebagai responden menafikan perbuatan persetubuhan itu dibuat dengan kerelaan, sebaliknya tanpa persetujuan mangsa.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, pada jam 1.35 pagi 11 September 2019 lalu.

Atas kesalahan tersebut, dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepaskan dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan terbabit selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Pada 30 Ogos 2024, dia menangis teresak-esak selepas Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Adlin Abdul Majid menjatuhinya hukuman berkenaan dan diperintahkan ke penjara pada hari sama.

Selepas 21 hari meringkuk di Penjara Kajang, Syed Shah Iqmal dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi di sini hingga rayuan utamanya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman didengar.

Pada 23 Januari pula, Mahkamah Tinggi sama mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.

Hakim, Adlin Abdul Majid memutuskan demikian selepas menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan dengan alasan pembelaan perayu bersifat penafian semata-mata selain berpendapat, tiada alasan khas bagi menangguhkan hukuman itu.

Dia sekali lagi ditempatkan di penjara namun pada 14 Februari lalu, iaitu selepas 21 hari dijel, bapa kepada dua anak itu dibebaskan sementara sehingga rayuan akhir di Mahkamah Rayuan didengar. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement