Ringkasan AI
- Keputusan representasi Najib Tun Razak untuk menggugurkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM27 juta dana SRC International akan diketahui pada 6 Mei.
- Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, akan menyerahkan surat tambahan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan maklum balas mengenai representasi tersebut.
- Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.
Hakim Mahkamah Tinggi K.Muniandy menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan pihaknya memohon tarikh pengurusan kes baharu untuk memaklumkan mengenai keputusan representasi itu.
"Representasi yang dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Ogos 2023 belum diputuskan lagi. Sehubungan itu, kami mohon tarikh pengurusan kes yang sesuai untuk memaklumkan mengenai keputusan representasi tersebut," katanya pada pengurusan kes itu hari ini.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan menyerahkan surat tambahan berhubung representasi itu kepada AGC esok.
"Surat tersebut bagi mendapatkan maklum balas mengenai representasi yang dihantar kepada AGC pada Ogos 2023," katanya.
Muhammad Shafee turut memohon tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini, iaitu pada 19 hingga 23 Mei dan 21 April hingga 25 April 2025, dilapangkan kerana beliau sedang mengendalikan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dua kes jenayah lain.
Hakim Muniandy membenarkan tarikh perbicaraan tersebut dilapangkan dan menetapkan pengurusan kes pada 6 Mei untuk pihak pendakwaan memaklumkan mengenai representasi tersebut.
Pada 3 Feb 2019, Najib, 71, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Beliau memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 dan Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
-- BERNAMA
