KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memohon di Mahkamah Tinggi di sini, untuk mendapatkan perintah larangan bersuara bagi melarang mana-mana pihak, membincangkan permohonan semakan Datuk Seri Najib Razak berhubung isu Titah Adendum.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan berkata, permohonan dibuat kerana kes tersebut menyentuh isu sensitif.

“Mahkamah mengarahkan permohonan itu difailkan pada 20 Januari ini dan Najib perlu memfailkan afidavit balasan dalam tempoh seminggu.

“Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes semakan kehakiman secara dalam talian pada 11 Mac depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding yang berlangsung dalam kamar di hadapan Hakim, Hayatul Akmar Abdul Aziz.

Selain itu, Shamsul berkata, kerajaan akan membantah permohonan Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Zulkiflin Nordin untuk menjadi peguam pemerhati bagi kes tersebut.

Mereka akan hadir bagi pihak tiga ahli Parlimen iaitu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, Naib Presiden Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee.

“Mahkamah mengarahkan permohonan itu, difailkan secara rasmi pada 27 Januari ini dan kerajaan perlu memfailkan afidavit balasan pada 10 Februari,” katanya.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, membantah permohonan larangan bersuara itu, kerana kes terbabit termasuk dalam kes berkepentingan awam.

Selain itu katanya, kes terbabit telah dibincangkan secara meluas termasuk di Parlimen.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Pekan ini merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Najib yang juga bekas pemimpin UMNO itu mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkannya, menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan di kediamannya.

Pada 3 Julai 2024, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan titah terbabit.

Hakim memutuskan demikian selepas mendapati semua afidavit difailkan bagi menyokong permohonan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia bersifat khabar angin.

Sebelum ini, Najib meminta perintah mandamus untuk memaksa tujuh pihak selaku responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lepas.

Pihak terbabit ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Pada 23 Ogos 2022, Najib dihukum meringkuk di Penjara Kajang selama 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bagaimanapun, pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman itu kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta, menyaksikan Najib akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028. 

- Sinar Harian